PUTRAJAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (Sekpur) mahu tindakan segera diambil terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan kenyataan kontroversi baru-baru ini.
Pengerusi Biro Agama Sekretariat Perpaduan Ummah pertubuhan itu, Zaidi Tohirin berkata, pihaknya mahu tindakan tegas termasuk hukuman ta’zir dipertimbangkan terhadap Ahli Parlimen itu sebagai pengajaran supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
Pihaknya difahamkan, lebih 2,000 laporan polis telah dibuat terhadap Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu.
“Kami difahamkan, permohonan maaf turut dikeluarkan oleh Pas, namun kami berpendapat permohonan maaf itu masih belum memadai serta tidak dilihat dibuat secara ikhlas.
“Apabila kenyataan menghina sahabat besar Nabi SAW seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA dan Saidina Umar Al-Khattab RA disebut secara terang-terangan oleh seorang agamawan, ia bukan satu kesilapan kecil atau tergelincir ucapan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Zaidi bersama barisan pimpinan sekretariat itu telah menghantar memorandum kepada Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan yang diterima Setiausaha Politiknya, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa.
Katanya, pihak berkuasa wajib mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat menyebarkan fitnah, hasutan dan naratif kebencian agama mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Zaidi berkata, rakyat mahu melihat tindakan sewajarnya diambil memandangkan individu terbabit mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.
“Apabila bercakap soal politik Islam, seseorang itu tertakluk kepada al-Quran dan sunnah. Namun apabila ucapan penuh fitnah dan kata-kata kesat dilemparkan kepada pemimpin negara, ia jelas bertentangan dengan adab Islam,” katanya.
Pada masa sama, NGO itu juga akan terus mendesak supaya pihak berkuasa agama negeri mengambil tindakan sewajarnya terhadap Nik Muhammad Zawawi berdasarkan peruntukan undang-undang di negeri masing-masing.
“Kami juga bersedia menggembleng lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuk mendapatkan pandangan ulama dari luar negara seperti Indonesia, Brunei, Selatan Thailand dan negara Arab bagi mempertahankan kesucian institusi sahabat Nabi SAW,” katanya. – UTUSAN










