GEORGE TOWN: Industri semikonduktor di negara ini termasuk di Pulau Pinang masih kekal stabil meskipun konflik berpanjangan di Asia Barat telah memberi tekanan kepada rantaian bekalan global serta kos operasi industri berkenaan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, konflik yang memasuki bulan ketiga itu sememangnya menimbulkan cabaran terutama melibatkan kenaikan harga minyak dunia dan bekalan beberapa bahan penting bagi industri semikonduktor.
Beliau berkata, terdapat beberapa bahan mentah penting dalam industri semikonduktor yang pernah mengalami tekanan bekalan susulan ketidakstabilan di Asia Barat.
Bagaimanapun katanya, pemain industri global kini telah mula menyesuaikan rantaian bekalan masing-masing dengan mencari sumber alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kawasan konflik.
“Ada beberapa barang dalam sektor semikonduktor yang memang susah didapati kalau rantau Asia Barat tidak stabil. Tetapi, rantaian bekalan telah bergerak mencari sumber baharu untuk menggantikan bekalan sedia ada,” katanya selepas melawat projek Intel Pelican di Bayan Lepas, hari ini.
Amir Hamzah berkata, setakat ini, situasi bekalan masih terkawal walaupun berada dalam keadaan terhad, selain permintaan terhadap semikonduktor khususnya berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) kekal tinggi.
Menurut beliau, syarikat pengeluar besar termasuk kilang fabrikasi utama memiliki ekosistem rantaian bekalan yang lebih kukuh dan mampu menyesuaikan operasi mereka dengan cepat.
“Kalau pengeluar besar, mereka punya ekosistem rantaian bekalan yang memang bagus dan mereka boleh buat pelarasan. Mungkin syarikat lebih kecil ada sedikit masalah kerana tidak biasa berurusan dengan pembekal baharu, tetapi isu-isu ini masih boleh ditangani,” katanya. – UTUSAN










