PETALING JAYA: Malaysia disaran mempertimbangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang mempunyai autonomi penuh dalam pengurusan tenaga kerja dan pembiayaan sebagai langkah reformasi menyeluruh sistem kesihatan negara.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, cadangan itu penting bagi memastikan perancangan tenaga kerja kesihatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tidak terikat sepenuhnya dalam kerangka perkhidmatan awam yang seragam.
Beliau berkata, sektor awam ketika ini berdepan isu kehilangan pakar kesihatan apabila ramai meninggalkan perkhidmatan akibat beban kerja tinggi, waktu kerja panjang, peluang kerjaya terhad serta ketidatentuan laluan latihan kepakaran.
Katanya, keadaan itu perlu segera ditangani jika negara mahu mengekalkan bakat petugas kesihatan, selain menuntut penambahbaikan sistem secara menyeluruh oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Antara langkah dicadangkan adalah memperluaskan struktur Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA), memastikan laluan kerjaya lebih telus serta membina prospek kerjaya yang lebih berbaloi untuk kekal berkhidmat.
“Malaysia memerlukan sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang mempunyai autonomi penuh dalam pengurusan tenaga kerja dan pembiayaan.
“Perancangan tenaga kerja kesihatan tidak boleh berfungsi dengan berkesan dalam kerangka perkhidmatan awam yang seragam untuk semua sektor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau menyambut baik usaha Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menubuhkan panel antara kementerian bagi menangani isu berkenaan.
“Fakta bahawa krisis kesihatan tidak boleh diselesaikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan yang diperlukan.
“Bagaimanapun, setiap hasrat perlu disusuli dengan garis masa yang jelas, peruntukan mencukupi serta mekanisme akauntabiliti yang boleh diukur,” katanya.
Beliau turut mencadangkan dasar pusat dengan pelaksanaan di peringkat tempatan dengan mengambil kira realiti di lapangan bagi memastikan hasil yang lebih saksama di semua negeri.
“Standard kebangsaan boleh ditetapkan di peringkat Persekutuan, tetapi pelaksanaan perlu lebih fleksibel mengikut keadaan setempat.
“Perdana Menteri perlu mempengerusikan semakan akauntabiliti secara langsung, menetapkan sasaran suku tahunan yang jelas serta memastikan MOF dan JPA bertindak secara tegas dalam pelaksanaan.
“Reformasi kesihatan tidak boleh terus terperangkap dalam kitaran politik. Rakyat tidak boleh terus melihat isu ini dibincangkan tanpa hasil nyata,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, KKM telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Antara Kementerian bagi meneliti isu kekurangan doktor dan pakar perubatan termasuk aspek pengekalan bakat dalam sektor kesihatan negara.
Dzulkefly dilaporkan berkata, satu garis masa khusus telah ditetapkan bagi memperhalusi dan merangka penyelesaian menyeluruh terhadap perkara berkenaan.-UTUSAN










