67 peratus pengeluar ramuan halal di negara ini bukan berstatus Islam - Utusan Malaysia

67 peratus pengeluar ramuan halal di negara ini bukan berstatus Islam

AHMAD Zahid Hamidi ketika Majlis Pelancaran Ekosistem Halal Mara di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) di sini hari ini. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 67 peratus pengeluar ramuan halal di negara ini terdiri daripada syarikat yang bukan berstatus Islam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, justeru semua syarikat pemilik beragama Islam perlu belajar dan bekerjasama termasuk menjadikan mereka sebagai rakan kongsi strategik dalam pengeluaran produk halal.

“Kita harus keluar daripada kepompong itu. Kita tidak mahu lagi melihat ini Islam, ini bukan Islam. Walaupun berbeza agama, matlamatnya sama iaitu mahu mengejar keuntungan dan pertumbuhan ekonomi.

“Tidak salah untuk kita jalin kerjasama dengan mereka. Inilah masanya untuk kita ketepikan perbezaan dan bersama-sama memasarkan produk halal Malaysia ke persada antarabangsa dengan sokongan semua pihak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekosistem Halal MARA di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata,
produk hasil keluaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang berjumlah AS$100 juta (RM400 juta) akan dipasarkan di rangkaian Lulu Hypermarket di Asia Barat.

Katanya, produk tersebut akan mula menembusi pasaran pada Julai nanti selepas persetujuan pemilik rangkaian pasar raya tersebut, Sheikh Yusuff Ali dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Beliau dalam masa yang sama telah mengarahkan pengurusan tertinggi MARA untuk segera menyelaras produk-produk usahawan bimbingannya bagi memenuhi permintaan pasaran dunia, khususnya di rantau Asia Barat menerusi rangkaian pasar raya tersebut.

“Saya menyatakan kepada beliau (Sheikh Yusuff Ali) di depan Perdana Menteri, jangan lihat kanan, jangan lihat kiri, mesti bekerjasama dengan MARA untuk membeli produk-produk halal ini untuk pasaran dunia.

“Beliau mahu melakukannya mulai 1 Julai tahun ini juga bagi memasarkan produk-produk tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau meletakkan sasaran lebih tinggi agar nilai potensi jualan halal antarabangsa MARA mampu melepasi angka RM1 bilion menjelang tahun hadapan selepas melihat peluang berkenaan.

Beliau berkata, sasaran itu realistik memandangkan usahawan MARA telah membuktikan keupayaan dengan mencatatkan potensi transaksi jualan mencecah RM819 juta dalam platform antarabangsa pada tahun ini.

“Kalau tahun ini kita mampu mencatat RM819 juta, saya mahu tahun hadapan MARA melepasi sasaran RM1 bilion nilai potensi jualan di pasaran antarabangsa. Pada masa yang sama, saya menyasarkan sekurang-kurangnya 300 usahawan lagi memperoleh pensijilan halal pada tahun ini,” katanya.

Bagi memperkukuh ekosistem berkenaan, Ahmad Zahid turut mengumumkan sasaran untuk melahirkan tambahan 30 Halal Eksekutif dan 30 Halal Auditor Dalaman dalam kalangan pegawai MARA bagi memberikan bimbingan teknikal yang lebih efisien kepada usahawan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN