SEREMBAN: Adik kepada mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 48, tidak meletakkan harapan agar bekas suami kakaknya itu membayar pampasan seperti yang ditetapkan mahkamah sebaliknya mahu lelaki itu terus menjalani hukuman penjara lebih lama.
Fauziah Nordin, 46, berkata, dia dan keluarganya bagaimanapun bersyukur apabila hukuman penjara terhadap lelaki itu ditingkatkan daripada 10 tahun kepada 14 tahun selain dikenakan denda serta bayaran pampasan.
Menurutnya, dia melihat bayaran pampasan sebanyak RM25,000 yang dikenakan ke atas Rosmaini Abd. Raof, 42, itu adalah tidak setimpal dengan apa yang telah dialami kakaknya yang kini hanya terlantar.
“Kalau ikutkan apa yang dia buat pada kakak saya, memang tidak setimpal. Tetapi kami bersyukur hukuman penjara dia ditambah daripada 10 kepada 14 tahun.
“Kalau dia ada duit dan boleh bayar, kami akan gunakan untuk membesarkan Eshan Nufail. Namun, jika tidak dibayar, itu lebih baik kerana hukuman penjara dia akan bertambah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara maksimum 14 tahun terhadap bekas suami Jahidah Nordin selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim, Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas mendapati hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan terhadap Rosmaini sebelum ini tidak memadai.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmaini membayar pampasan sebanyak RM25,000 kepada Jahidah melalui wakil keluarga wanita itu yang menjaganya.
Gagal membayar pampasan itu, hukuman penjara Rosmaini boleh ditambah enam bulan lagi.
Rosmaini kini masih direman bagi membantu siasatan kes berasingan berkaitan dakwaan mencederakan isterinya sehingga keguguran dalam kejadian di Sungai Petani, Kedah, hujung April lalu.
Sementara itu, menurut Fauziah, dia mengetahui keputusan itu ketika sedang memandu sebelum menyemaknya di media sosial.
“Saya terus menangis selepas mengetahuinya. Perasaan bercampur-baur, sedih dan lega. Doa orang teraniaya akhirnya dimakbulkan,” katanya.
Katanya, kakaknya yang masih terlantar hanya mampu menitiskan air mata selepas dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.
“Apabila saya beritahu, dia hanya menitiskan air mata. Walaupun tidak boleh bercakap atau memberi respon lain, air mata itu jelas menunjukkan dia faham dan berasa lega,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fauziah berharap tertuduh dikenakan hukuman lebih berat bagi satu lagi kes yang sedang dihadapinya ketika ini.










