Oscar perkenal peraturan baharu, sentuh penggunaan AI - Utusan Malaysia

Oscar perkenal peraturan baharu, sentuh penggunaan AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Penganjur Anugerah Akademi (Oscar), The Academy of Motion Picture Arts and Sciences memperkenalkan perubahan besar bagi Anugerah Akademi ke-99 melibatkan kategori lakonan, penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta kategori filem antarabangsa.

Perubahan ini dilakukan penganjur agar lebih sesuai terhadap perkembangan standard industri perfileman global, khususnya dari segi kelayakan pencalonan, kepengarangan dan penglibatan karya antarabangsa.

Dalam kategori lakonan, pelakon kini dibenarkan menerima lebih daripada satu pencalonan dalam kategori yang sama sekiranya tercalon dalam lima undian tertinggi juri Oscar.

Peraturan baharu ini dijangka mengurangkan isu ‘pembahagian undi’ yang sebelum ini memaksa studio mengubah kategori pencalonan bagi mengelakkan persaingan dalaman.

Sebelum ini, hanya satu pencalonan dibenarkan jika pelakon sama mempunyai dua pencalonan dalam kategori yang sama, dengan pencalonan kedua digugurkan. Antara contoh yang pernah dibincangkan ialah pelakon Paul Mescal yang mempunyai dua peranan utama dalam The History of Sound dan Hamnet, namun tidak tersenarai dalam pencalonan akhir bagi salah satu kategori.

Peraturan baharu turut menetapkan hanya watak yang disenaraikan dalam kredit filem serta dilakonkan oleh manusia dengan persetujuan mereka layak dipertimbangkan sebagai pencalonan.

Dalam masa sama, penganjur turut mengetatkan garis panduan penggunaan AI dalam produksi filem. Walaupun tidak diharamkan, pihak penganjur boleh meminta maklumat lanjut mengenai sejauh mana penggunaan teknologi tersebut dalam penulisan atau penghasilan filem.

Bagi kategori penulisan skrip, hanya karya yang ditulis sepenuhnya oleh manusia akan layak dipertimbangkan. Academy menegaskan komitmen terhadap karya seni manusia kekal menjadi keutamaan meskipun teknologi semakin berkembang.

Sementara itu, perubahan paling ketara melibatkan kategori Filem Panjang Antarabangsa. Jika sebelum ini setiap negara hanya boleh menghantar satu filem melalui jawatankuasa rasmi, kini beberapa filem dari satu negara boleh dicalonkan, malah filem berbahasa bukan Inggeris juga boleh memohon terus pencalonan tanpa melalui komiti negara, tertakluk kepada syarat tertentu.

Bagaimanapun, filem tersebut  memenangi anugerah utama di festival filem antarabangsa terkemuka seperti Cannes Film Festival, Berlin International Film Festival, Venice Film Festival, Toronto International Film Festival, Sundance Film Festival atau Busan International Film Festival.

Langkah ini dilihat membuka ruang kepada filem yang mungkin ditolak oleh komiti negara masing-masing atas faktor politik atau pertimbangan dalaman. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN