Ayah kecewa tidak sempat tunai haji - Anak - Utusan Malaysia

Ayah kecewa tidak sempat tunai haji – Anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Anak kepada Allahyarham Jalil Hamid, Afiqah Jalil, berkata hasrat terbesar bapanya untuk menunaikan haji tidak kesampaian akibat masalah jantung yang dihidapinya.

Tambah Afiqah, 33, Allahyarham sepatutnya menunaikan ibadah haji pada tahun lalu bahkan telah menghadiri khursus sebagai persediaan.

“Tahun lepas tidak dapat pergi, ibu sahaja yang pergi seorang. Tahun ini sudah pergi kursus haji semua, tetapi tidak dapat sebab masalah jantungnya. Jadi dia memang agak kecewa dengan situasi itu.

“Kami pun ada cakap, tidak mengapalah. Tetapi dia memang kecewa sebenarnya, memang dia sedih tidak dapat pergi,” katanya ketika ditemui di Masjid Al- Munawwarah di sini, pada Isnin.

Bukan itu sahaja, Afiqah berkata Allahyarham juga tidak sempat menghadiri majlis pelancaran buku autobiografi yang sepatutnya berlangsung hujung minggu ini di Singapura.

Kongsi Afiqah, dia sudah menyiapkan segala dokumen termasuklah
urusan memperbaharui pasport yang selesai semalam.

“Dalam perjalanan pergi kerja tengah hari tadi, ibu hubungi saya dan cakap, ‘Ika, patah balik. Ayah tidak sedarkan diri’. Jadi saya pun patah balik tengok memang badan dia sudah sejuk dan pucat.

“Kami cuba kejutkan tapi memang tiada tindak balas. Perancangannya memang mahu ke Singapura pada Jumaat ini untuk pelancaran bukunya, saya pun berasa teruja sebab saya yang tolong pasarkan buku ini. Saya tidak sangka pula tidak sampai hajat dia,” katanya.

Kata Afiqah, Allahyarham mempunyai
sejarah penyakit jantung bengkak dan sering mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Bagaimanapun, Afiqah bersyukur kerana sempat merakam lagu sempena Aidilfitri bersama bapanya tahun ini sebagai kenangan seumur hidup.

Difahamkan, Allahyarham juga sepatutnya terbabit dalam penggambaran sebuah drama pada malam ini, namun urusan itu kini terpaksa tergendala susulan pemergian pelakon veteran itu.

Jalil, 69, disahkan meninggal dunia dalam tidur tengah hari tadi. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Hayati Sariat, 62, dan enam cahaya mata.

Jenazah disempurnakan di Masjid Al-Munawwarah, Shah Alam dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN