RANTAU PANJANG: Seorang lelaki yang positif dadah ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas cuba memecahkan tabung derma di Masjid Mukim Jejawi di sini awal pagi tadi.
Suspek berusia 34 tahun yang berasal dari Bertam, Gua Musang itu ditahan semasa menunggang motosikal jenis Honda RS150 selepas dipercayai cuba melarikan diri.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa melakukan rondaan rutin pada pukul 2.33 pagi itu anggota PGA telah didatangi oleh seorang penduduk yang meminta bantuan berkaitan kes kecurian tabung masjid.
Katanya, anggota bertugas kemudian berjaya menahan sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki dan melakukan pemeriksaan.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 25 biji pil epam. Anggota bertugas kemudian membawa suspek semula ke Masjid Jejawi untuk menunjukkan alat pemotong besi yang ditinggalkan di lokasi kejadian.
“Suspek telah menunjukkan satu unit pemotong besi berwarna oren yang dipercayai digunakan untuk memotong tabung masjid,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, siasatan mendapati suspek mengaku sudah terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak dua tahun yang lalu.
Katanya, suspek mengaku dia datang ke Pasir Mas untuk pergi ke rumah sepupunya di Tok Sangkut.
“Bekalan dadah pula diperolehi daripada seorang tauke dikenali sebagai Jani. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Bahaya 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Bahaya 1952,” katanya.-UTUSAN










