PRN Johor: Ahli, penyokong Reset digesa tolak calon PH - Utusan Malaysia

PRN Johor: Ahli, penyokong Reset digesa tolak calon PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli dan penyokong Gerakan Reset Malaysia digesa menolak untuk mengundi calon-calon yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, 11 Julai ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata, gesaan itu bersesuaian dengan sifat amar makruf nahi mungkar yang diajar dalam agama Islam kepada umat manusia.

“Kami menyeru anggota, aktivis Gerakan Reset di negeri ini untuk jalankan tanggungjawab mengundi di kawasan masing-masing. Jika ada kemampuan kerjalah untuk calon-calon yang dipilih daripada parti yang disokong.

“Cuma yang pastinya, bukan calon PH. Jadi tengoklah siapa dalam kalangan calon itu, parti mana yang selari dengan amar makruf nahi mungkar, jadi pandai-pandailah.

“Kami percaya rakyat Johor lebih faham, isunya di sini bukan soal politik sahaja tetapi bagaimana untuk dapatkan pentadbiran negeri yang baik. Jika sudah ada pentadbiran negeri yang baik, maka itu yang harus diteruskan, itu adalah pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Reset Johor di Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini malam ini. Turut hadir, Naib Presiden Gerakan Reset Malaysia, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Pada masa sama, Saifuddin turut menasihatkan ahli dan penyokong gerakan itu membuat pertimbangan sewajarnya melibatkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi calon daripada Barisan Nasional (BN) dan juga Pas.

“Itu mereka kena gunakan moral kompas masing-masing. Mereka tahu apa yang saya maksudkan dan kita juga akan sampaikan mesej ini melalui kaedah-kaedah lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN