Bayangkan senario ini: Seorang individu hidup sehingga usia 100 tahun. Namun, pada usia emas 60 tahun, dia terjatuh dan patah pergelangan tangan.
Kejadian yang disangka kecil itu mencetuskan rantaian kemerosotan fungsi badan, disusuli oleh kepatahan tulang pinggul, serangan angin ahmar (strok), komplikasi buah pinggang, dan akhirnya beliau menghabiskan sisa empat dekad kehidupannya terlantar di atas katil.
Adakah senario ini yang kita takrifkan sebagai penuaan yang sihat? Sudah tentu tidak. Jangka hayat yang panjang (lifespan) tidak bermakna jika ia tidak seiring dengan jangka hayat sihat (healthspan).
Baru-baru ini, laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 mendedahkan satu realiti kebangsaan yang agak pahit untuk ditelan. Daripada jutaan warga emas di Malaysia, hanya 14.7 peratus individu berusia 60 tahun ke atas yang dikategorikan sebagai menua dengan sihat (ageing well). Lebih membimbangkan, angka ini merosot kepada 5.1 peratus bagi mereka yang melepasi usia 80 tahun.
Menurut NHMS, definisi ‘penuaan sihat’ tidak menuntut kesempurnaan. Seseorang dikira menua dengan sihat jika memenuhi lima kriteria pokok berikut:
Mempunyai sokongan sosial yang baik.
Fungsi kognitif (minda) yang waras.
Bebas daripada masalah kemurungan.
Mampu menguruskan aktiviti kehidupan seharian (ADL) secara berdikari.
Bebas penyakit kronik, atau penyakit kroniknya terkawal dengan baik.
Titik tolaknya di sini adalah perkataan ‘terkawal’. Menghidap kencing manis atau darah tinggi bukanlah isyarat untuk menyerah kalah kepada takdir, asalkan ia diurus dengan disiplin.
Malaysia sedang memecut ke arah peralihan demografi yang kritikal. Menjelang 2036, kita dijangka mencapai status ‘negara tua’ (aged nation). Namun, berdasarkan data ini, kita seolah-olah belum bersedia. Sebagai Pakar Perubatan Dalaman dan Geriatrik, saya percaya satu perkara pokok iaitu penuaan sejahtera bukanlah sejenis ‘nasib’. Ia menuntut persediaan fisiologi, psikologi, dan pembinaan sistem sokongan yang utuh.
Krisis Biologi: Ancaman senyap keuzuran dan sarcopenia
Salah satu ancaman terbesar kepada warga emas kita adalah keuzuran (frailty) dan kehilangan jisim otot (sarcopenia). Data NHMS merekodkan 45 peratus warga emas di negara ini menghidap sarcopenia. Kemerosotan otot sering disalah anggap sebagai sebahagian daripada proses penuaan biasa. Kita kerap dihidangkan dengan mitos bahawa ‘orang tua memanglah lemah’.
Tanggapan ini sangat berbahaya. Otot bukan sahaja memberikan kudrat untuk bergerak dan menguruskan kehidupan harian, malah ia adalah ‘gedung protein’ utama tubuh. Apabila warga emas diserang penyakit akut, protein dari otot inilah yang dikerah oleh sistem imun untuk melawan penyakit. Apabila warga emas berada dalam fasa uzur, tekanan fizikal sekecil demam selsema sudah cukup mencetuskan kesan domino yang memaksa mereka dimasukkan ke wad kecemasan.
Sering kali, budaya kita mempamerkan kasih sayang dengan menyuruh ibu bapa yang tua berehat. “Duduk diam-diam, biar kami yang buat.” Tanpa disedari, tindakan ini mempercepatkan kemerosotan fizikal mereka.
Hakikatnya, warga emas wajib mengekalkan aktiviti fizikal seperti latihan kekuatan (strength training) dan mengambil diet kaya makronutrien (protein) untuk mengekalkan jisim dan kekuatan otot. Menelan pelbagai pil vitamin semata-mata tidak akan membina otot yang kuat.
Simptom tersembunyi dan kehilangan ‘Ikigai’
Kerangka penuaan sihat juga merangkumi kesejahteraan minda. Kajian mendapati 1 dalam 10 warga emas berdepan masalah demensia. Demensia bukan sekadar mudah lupa, sebaliknya ia penyakit yang merampas kebolehan berfikir secara waras.
Kelaziman kemurungan warga emas pula dicatatkan pada paras 8 peratus. Kemurungan mereka jarang mempamerkan riak wajah sedih. Ia sering bersembunyi di sebalik aduan sakit badan, kelesuan, hilang selera makan, dan sikap tidak peduli (apathy).
Di sinilah kita perlu berbicara tentang Ikigai, iaitu matlamat atau makna hidup. Kemerosotan psikologi sering bermula apabila warga emas kehilangan ‘peranan’ mereka. Dahulu, mereka mungkin seorang guru yang disegani, pengurus yang sibuk, atau ibu bapa yang ligat membesarkan anak.
Fasa persaraan merubah peranan tersebut. Jika mereka memilih untuk terus bernostalgia memandang ke zaman kegemilangan semata-mata, ia bakal mencetuskan kelompongan jiwa. Mencari identiti dan tujuan baharu pada usia emas adalah wajib. Tanpa pencarian matlamat yang berterusan, kesihatan mental akan merudum, lantas menarik jatuh kesihatan fizikal mereka.
Beban penjaga dan peranan geriatrik
Kesihatan warga emas tidak beroperasi dalam ruang vakum. Tinjauan mendapati 18.8 peratus warga emas kini tinggal bersendirian, satu peningkatan mendadak akibat proses urbanisasi. Bagi warga emas yang tidak mampu berdikari, beban penjagaan jatuh ke bahu keluarga. Kini, sekitar 26 hingga 46 peratus daripada kumpulan penjaga tidak formal ini berdepan bebanan yang parah termasuk hilang pendapatan dan keletihan melampau (burnout).
Ditambah hakikat 30 peratus warga emas menghidap tiga penyakit serangkai, beban menguruskan kerumitan ubat-ubatan amatlah sukar bagi ahli keluarga tanpa asas perubatan.
Di sinilah wujudnya keperluan terhadap bidang Perubatan Geriatrik. Sistem perubatan moden sering memfokuskan rawatan berdasarkan organ atau sistem tubuh secara spesifik. Sebaliknya, kepakaran kami melihat gambaran yang lebih besar (the big picture). Tugas pasukan geriatrik adalah menguraikan kerumitan, memperkemas senarai ubat-ubatan, mengelakkan keuzuran yang tidak sepatutnya, dan membantu pesakit mengekalkan maruah untuk berdikari selama yang mungkin.
Penuaan sejahtera tidak berlaku secara kebetulan. Menjelang 2036 apabila kita rasmi bergelar negara tua, kita bukan sahaja mahu rakyat yang panjang umur, tetapi warga emas yang sihat dan mampu berdiri di atas kaki sendiri. –UTUSAN
Dr. Lim Wan Chieh ialah Pakar Perubatan Geriatrik dan Perubatan Dalaman, Sunway Medical Centre Ipoh.









