Epilog Cinta Dari Bromley, kisah tentang kawan-kawan - Utusan Malaysia

Epilog Cinta Dari Bromley, kisah tentang kawan-kawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Epilog Cinta Dari Bromley sampai ke hari ini melekat di telinga pendengar. Selain sentuhan melodi yang membuai-buai, lagu ini juga memiliki makna tersirat yang mendalam.

Pencipta dan penyanyinya, Sohaimi Mior Hassan memaklumkan, ketika lagu itu ditulis, dia berada di United Kingdom (UK) kerana dihantar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang elektrikal sains di sana.

Ketika itulah beliau melihat rakan-rakan seperjuangannya, yang bercinta dengan rakyat tempatan, mengalami dilema akibat keengganan pasangan mereka memeluk Islam.

“Cerita sebenar adalah, dahulu ketika belajar di UK, ramai pelajar Malaysia yang mengalami masalah berkaitan agama pasangan masing-masing. Kawan-kawan saya yang bercinta dengan orang UK, bila hendak bawa mereka pulang menghadapi masalah kerana pasangan enggan peluk Islam.

“Saya jadikan pengalaman itu sebagai lagu. Tajuknya pula saya karang ketika tunggu bas yang tertera Bromley, nama sebuah jalan di sana,” katanya.

Sohaimi antara penyanyi yang mempunyai keunikan suara ketika kemunculannya pada tahun 1975. Kehebatan beliau membawa lagu itu memukau pendengar.

Katanya, bukan senang untuk mencari penyanyi yang bersuara ‘jantan’ apatah lagi dalam arus kemodenan hari ini.

“Suara macam saya ini sukar dicari zaman sekarang. Mungkin zaman dahulu, ketika Epilog Cinta Dari Bromley, ramai bersuara begini,” kongsinya.

Disoal tentang rahsia memiliki suaranya sekarang, Sohaimi tidak dapat memberikan jawapan khusus.

Namun, penyanyi ini tidak menolak air telaga yang lazimnya diminum menjadi faktor penyumbang terbesar.

“Di kampung dahulu, kami minum air telaga. Bapa saya polis yang suka bercucuk tanam. Tinggal pula di kawasan simpanan air sungai. Jadi, kawasan kediaman kami ada telaga. Kawasannya dalam, mengandungi air yang bersih. Saya selalu minum airnya kerana mengandungi banyak kalsium yang tinggi. Mungkin sebab itu suara saya kedengaran serak-serak basah,” katanya.

Tumpu pada cucu 

Sohaimi dilahirkan pada 8 Januari 1957 di Beruas, Perak. Beliau telah berjaya menerbitkan 10 album, termasuk Prolog pada tahun 1983.
“Saya sebenarnya ketika itu sudah mempunyai pekerjaan sebagai anggota tentera Laut Malaysia.

“Tidak lama selepas itu, saya dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan elektronik.

“Ketika pulang tanah air, saya perlu kendalikan Jabatan Elektronik Tentera Laut Malaysia. Saya bersara awal iaitu pada 1989.

“Anak saya semuanya perempuan, begitu juga dengan cucu saya. Nasib baik dapat menantu lelaki,” katanya berseloroh.

Aktiviti Suhaimi sekarang ini banyak tertumpu kepada hal ehwal cucunya. Katanya, nyanyian sudah tidak aktif seperti dulu.

“Aktiviti saya sekarang tertumpu kepada urusan mengambil dan menghantar cucu ke sekolah, yang mana yang sulung berusia 13 tahun.

“Sudah sedekad saya perlahankan aktiviti nyanyian. Adalah terikat dengan tiga projek nyanyian, selepas saya hendak berehat.

“Kalau terima tawaran membuat persembahan pun, saya pilih. Tapi kalau majlis pertemuan pelajar, saya pergi,” katanya lagi.

Suhaimi berkata, titik perubahan berlaku pada 2012, di mana ketika itu beliau memutuskan untuk memperbaiki ilmu agama.

“Sewaktu 2012, saya nekad untuk berhenti menyanyi. Masa itu saya memutuskan untuk memberi tumpuan kepada urusan agama. Jadi saya ikut kelas yang dianjurkan ahli fatwa ulama negeri Perak, Tuan Guru Osman Qarib.

“Saya jadi seronok dan kerana itu saya hadir kelas dua minggu sekali, pergi ke pondok beliau. Sewaktu melanjutkan pengajian di UK dulu, saya banyak tinggal solat. Jadi, saya hendak qada solat-solat tersebut,” kongsinya.

SUHAIMI (kiri) bersama Anna Raffalli dan Altimet

Kalau Berpacaran 

Bercakap tentang lagu terakhir, Sohaimi memaklumkan single Kalau berpacaran merupakan ciptaan terakhir yang diterbitkan pada 2011.

“Saya terlibat dengan projek di Johor ketika mencipta lagu itu.

“Selepas projek berkenaan selesai, saya dipanggil pula untuk menghadiri pertemuan pencipta lagu yang waktu itu diadakan di Port Dickson.
“Pada masa sama, pihak tersebut meminta saya hasilkan sebuah lagu baharu. Jadi dalam perjalanan ke Port Dickson, saya sempat mencipta lagu Kalau Berpacaran dengan bersama Ana Rafalli dan Altimet.

“Tidak sangka, ketika penjualan album sudah perlahan dan melihatkan kemerosotan, lagu itu sebaliknya menjadi, Alhamdulillah,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi memaklumkan dia sudah bersara daripada menghasilkan lagu meskipun masih ada penyanyi yang meminta lagunya.

“Ada banyak lagu yang saya hasilkan tetapi tidak sempat diterbitkan. Antaranya lagu-lagu Ramadan, dalam 20 lagu kesemuanya.

“Semua lagu yang saya hasilkan, saya nyanyikan sendiri. Namun zaman sudah berubah. Semakin lama, semakin ‘disuap’. Hendak masuk lagu pun menerusi aplikasi.

“Ada penyanyi yang meminta lagu daripada saya, tapi malangnya saya sudah tidak menghasilkannya. Saya sudah tidak aktif,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN