PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran tegas kepada semua pihak supaya tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan berkait isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
MCMC berkata, kandungan itu khususnya yang bersifat provokatif, menghina, menghasut kebencian atau boleh mencetuskan ketegangan awam.
“Kami memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian dan platform dalam talian yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Orang ramai dinasihatkan agar menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi bagi mengelakkan salah faham atau permusuhan, ” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, MCMC akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan untuk memantau, menyiasat serta mengambil tindakan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang.
“Pesalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman denda hingga RM500,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya.
“Kami akan turut mengambil tindakan terhadap penyedia platform yang tidak memberi kerjasama dan mengingatkan mereka supaya mematuhi undang-undang serta mencegah penyalahgunaan perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN










