PETALING JAYA: Pelakon, Liyana Jasmay meluahkan rasa kurang senang terhadap beberapa komen lelaki berkaitan kes Nurfisya yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Liyana Jasmay, 38, terdapat segelintir pihak yang seolah-olah menyalahkan wanita dan mengeluarkan kenyataan tidak sensitif dalam isu berkenaan.
Jelasnya, tiada sesiapa berhak mengawal atau menyalahkan golongan wanita sehingga menimbulkan ancaman kepada mereka.
“Awak siapa nak kawal anak perempuan orang? Cuba bayangkan perkara ini terjadi dalam keluarga sendiri,” katanya.
Liyana turut menzahirkan rasa kecewa dengan kenyataan yang mengaitkan emosi lelaki secara berlebihan sehingga dianggap boleh membawa kepada tindakan melampau.
Dalam pada itu, dia menyeru agar ibu bapa lebih memberi perhatian dalam mendidik anak lelaki supaya membesar dengan nilai hormat terhadap wanita.
“Tolong ajar mereka. Jangan biarkan mereka jadi pembunuh,” katanya.
Perkongsian tersebut turut menerima pelbagai reaksi netizen yang menegaskan kepentingan mendidik anak lelaki agar menghormati dan melindungi wanita serta mengelakkan sikap ganas dan panas baran.










