PETALING JAYA: Sebuah portal dalam talian, MalaysiaNow disiasat susulan penerbitan artikel berhubung satu klip video dikaitkan dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, baru-baru ini.
Susulan itu, Ketua Pengarangnya, Abdar Rahman Koya, 51, hadir bersama peguamnya, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, bagi dirakam percakapan untuk membantu siasatan.
N. Rajesh yang mewakili Rahman berkata, anak guamnya dipanggil untuk memberikan keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Hari ini terdapat 57 soalan ditujukan kepada anak guam kami.
“Kami juga terkejut apabila antara soalan dikemukakan ialah sama ada artikel diterbitkan pada 22 April lalu boleh menjejaskan reputasi Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di luar IPD Petaling Jaya, di sini hari ini.
Rajesh memaklumkan anak guamnya tidak menjawab kesemua soalan itu, sebaliknya akan menjawab di mahkamah dan kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Siasatan dibuat susulan laporan polis difailkan oleh seorang individu bernama Farhash Wafa Salvador,” katanya.
Terdahulu, Rahman tiba di IPD Petaling Jaya sekitar pukul 2.15 petang bersama dua peguambelanya sebelum melalui proses merakam keterangannya yang berlangsung sekitar 30 minit.
Mengulas lanjut, Rajesh berkata, artikel diterbitkan MalaysiaNow itu berkaitan video membabitkan wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong yang didedahkan oleh ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei.
“Pihak media tidak sepatutnya disiasat hanya kerana menerbitkan laporan berita. Jika ada pihak merasakan laporan itu fitnah atau tidak benar, mereka boleh mengambil tindakan sivil di mahkamah,” katanya.
Tambah Rajesh, tindakan tersebut dilihat sebagai suatu intimidasi kepada pihak wartawan yang tidak wajar.
“Pihak wartawan dan media merupakan salah satu institusi negara yang sangat penting. Jika terdapat intimidasi, apa yang berlaku adalah pihak media akan fikir dua kali sebelum mereka menerbitkan sesuatu artikel. Itu tidak boleh diterima,” katanya.
Rajesh turut mendakwa beberapa organisasi media lain termasuk Malaysiakini dan Harakahdaily tidak terkecuali dinamakan dalam laporan polis berkaitan kes sama.
Sachpreetraj Singh pula berkata, pihak media tidak seharusnya dikekang melalui siasatan jenayah hanya kerana menerbitkan laporan berkaitan isu kepentingan awam.
“Sekiranya ada pihak tidak berpuas hati, mereka boleh memfailkan tindakan sivil di mahkamah.
“Untuk menyiasat pihak media dan wartawan memang tidak wajar,” katanya.-UTUSAN










