KOTA BHARU: Polis membuka siasatan berhubung kejadian kebakaran melibatkan empat buah motosikal milik pasukan trafik dan bangunan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, dekat sini hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia bertujuan mengenal pasti sama ada wujud unsur lain di sebalik kebakaran tersebut.
“Polis turut menjalankan siasatan forensik secara serentak dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kebakaran struktur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Yusoff berkata, jumlah kerugian dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak forensik JBPM.
Katanya, bagi memastikan kelancaran perkhidmatan kepada masyarakat, segala urusan kaunter dan operasi BSPT diteruskan seperti biasa melalui penempatan sementara.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan empat buah motosikal milik pasukan trafik IPD Pasir Puteh terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 2.27 pagi yang turut melibatkan sebuah motosikal awam serta sebahagian bangunan di kawasan berkenaan. – UTUSAN










