38 pelayan, tukang masak Indonesia ditahan imigresen Johor

38 pelayan, tukang masak Indonesia ditahan imigresen Johor

SEBAHAGIAN daripada warga Indonesia yang ditahan JIM Johor dalam Ops Selera yang dilakukan di sekitar bandar raya Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 38 pelayan dan tukang masak warga Indonesia ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor ketika menggempur beberapa premis kedai makan di sekitar bandar raya ini menerusi Ops Selera, semalam.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, operasi melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor itu dibuat pada pukul 11 pagi susulan aduan awam.

“Dalam serbuan itu, beberapa individu cuba meloloskan diri, namun keadaan berjaya dikawal penguatkuasa. Pemeriksaan mendapati terdapat individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Rusdi berkata, seramai 24 lelaki dan 14 wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 50 tahun dipercayai bekerja sebagai tukang masak dan pelayan restoran berjaya ditahan.

Katanya, turut ditahan dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai pengurus premis bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut, manakala tiga Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN