GEORGE TOWN : Bekalan barangan keperluan di Pulau Pinang dilaporkan mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal termasuk menjelang musim perayaan Hari Raya Aidiladha serta peningkatan permintaan semasa.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebanyak 27 item barangan terkawal di negeri itu masih mempunyai bekalan mencukupi selain harga jualannya berada di bawah harga kawalan yang ditetapkan.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan semasa termasuk laporan pasaran yang dibentangkan dalam Mesyuarat Exco bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga melampau.
“Mengikut laporan, tidak ada kenaikan harga barangan yang ketara. Semua masih dalam keadaan terkawal dan itu yang kita mahu pastikan supaya rakyat tidak tertekan dengan kenaikan harga yang melampau,” katanya selepas melancarkan kempen makan sayur dan buah tempatan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pihaknya menyambut baik usaha Rashidi bersama agensi berkaitan dalam memperkukuhkan keterjaminan makanan dan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Katanya, usaha tersebut penting bagi memastikan keseimbangan rantaian bekalan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah membantu pengusaha, penternak dan pekebun mendapatkan jaminan pendapatan serta pasaran lebih stabil.
Sementara itu, Rashidi berkata, kempen makan sayur dan buah tempatan itu dilancarkan bagi membantu petani negeri itu berdepan kejatuhan harga hasil tanaman selain memastikan pengguna memperoleh bekalan sayur yang lebih berkualiti dan selamat.
Katanya, kempen berkenaan dilaksanakan bersama agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian sebagai usaha menyokong pengeluaran hasil tempatan khususnya di kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda.
Menurutnya, petani sebelum ini berdepan tekanan apabila harga sayur jatuh sehingga serendah RM1.20 hingga RM1.50 sekilogram, namun kini kembali meningkat kepada sekitar RM2.50 hingga hampir RM3 sekilogram.-UTUSAN










