Pelajar tingkatan tiga maut tunggang motosikal lawan arus

Pelajar tingkatan tiga maut tunggang motosikal lawan arus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia ( MARDI ) Cherating, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, Muhammad Salman Muhammad Ridwan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baging, di sini, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman, Terengganu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100 dipercayai bergerak melawan aliran trafik sebelum melanggar sebuah motosikal Honda Dash 125 dari arah bertentangan.

“Ketika kejadian, penunggang motosikal Honda Dash 125 itu sedang bergerak dari arah Kuantan menghala ke Kemaman sebelum bertembung dengan motosikal mangsa yang datang dari arah hadapan secara melawan arus.

“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan serius dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut beliau, penunggang sebuah lagi motosikal, iaitu seorang wanita berusia 43 tahun mengalami retak pada kaki kanan dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang menunggang melawan aliran trafik. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN