GEORGE TOWN : Seorang lelaki dijumpai meninggal dunia oleh orang awam dalam sebuah kereta yang diletakkan berhadapan kedai ais krim di Jalan Sungai Dua di sini, kira-kira pukul 11.47 pagi tadi.
Ketika dijumpai, mangsa yang berusia 37 tahun itu dalam keadaan berpakaian kemas serta terbaring di bahagian tempat duduk pemandu kereta milik isterinya yang dikunci dari dalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, siasatan pada badan si mati dan kawasan sekitarnya bagaimanapun mendapati, tiada sebarang unsur jenayah ditemukan.
“Mangsa iaitu seorang lelaki tempatan dan berasal dari Ayer Itam juga dipercayai telah meninggal dunia kira-kira lima hari sebelum mayatnya dijumpai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelas Swee Sake, mayat lelaki itu telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) telah dibuka bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat,” katanya.-UTUSAN









