Masalah dadah Langkawi tak sampai tahap Pablo Escobar - Saifuddin - Utusan Malaysia

Masalah dadah Langkawi tak sampai tahap Pablo Escobar – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kegiatan pengedaran dadah di Langkawi tidak berada pada tahap sehingga boleh disamakan dengan operasi kartel antarabangsa seperti dikaitkan dengan figura terkenal dunia jenayah, Pablo Escobar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggunaan istilah seperti hab dadah dan perbandingan sedemikian disifatkan keterlaluan, meskipun mengakui pihak berkuasa sentiasa menjalankan risikan serta pengintipan terhadap aktiviti pengedaran dadah di pulau itu.

“Saya tak guna hab dadah, itu istilah media, Pablo Escobar dan segala macam. Sebenarnya saya nak sebut, dia tak adalah sampai tahap itu. Pablo Escobar ini orang kata kepala sindiket yang satu dunia kenal kerana operasinya begitu sophisticated, mengawal seluruh instrumen bekalan, pengedaran, mangsa, ugutan dan organized crime.

“Yang ini tak ada pun di Langkawi. Tak adalah sampai tahap magnitud macam itu sekali,” katanya selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Khidmat Masyarakat di Taman Sejahtera, Lunas di sini.

Saifuddin berkata, tindakan pihak polis bukan hanya dilakukan selepas sesuatu isu didedahkan media, sebaliknya hasil risikan dan pemantauan berterusan pasukan keselamatan.

“Kita bertindak atas semua maklumat perisikan dan pengintipan yang kita ada, bukannya hanya setelah media dedahkan. Pengintipan berlaku sepanjang masa dan apabila sampai masa yang memerlukan serbuan serta tindakan dibuat, maka kita laksanakan penguatkuasaan,” katanya.

Katanya, polis juga tidak akan berkompromi sekiranya siasatan mendapati wujud elemen jenayah terancang atau penglibatan anggota penguat kuasa dalam kegiatan tersebut.

“Kalau ada elemen organized crime, kita akan siasat mengikut peruntukan undang-undang. Kalau ada penglibatan anggota penguat kuasa sekali pun, tindakan akan diambil tanpa berselindung,” katanya.

Mengenai cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya polis menembak pengedar dadah, Saifuddin berkata, isu dadah perlu ditangani secara rasional dan menyeluruh, bukannya dengan kenyataan populis semata-mata.

Katanya, Kedah sememangnya antara negeri paling serius berdepan masalah dadah terutama melibatkan kes di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya iaitu kesalahan berulang.

“Kedah ini boleh dikatakan pingat emas bagi kes Seksyen 39C, iaitu ‘habitual offender’. Maksudnya ditangkap, dibawa ke mahkamah, dihukum, keluar dan ditangkap semula atas kesalahan sama.

“Jadi kita kena duduk dengan kepala yang lebih dingin, lebih rasional dan objektif. Ia tak semudah dengan mengungkapkan ‘tembak’ itu dapat menyelesaikan masalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN