ISTANBUL: Pengukuhan kerjasama industri pertahanan Malaysia–Turkiye serta pembangunan keupayaan aset maritim negara melalui kerjasama teknologi dan industri merupakan antara agenda yang dibincangkan dalam lawatan kerja rasmi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke negara itu yang berakhir semalam.
Lawatan tersebut turut diserikan dengan penamaan dan pelancaran Kapal Misi Pesisir Batch (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Antara pengisian utama lawatan ialah pertemuan dengan syarikat pertahanan Turkiye, Otokar Otomotiv ve Savunma Sanayi A.Ş. yang merupakan pengeluar kenderaan berperisai dan platform mobiliti ketenteraan.
Pertemuan itu menyentuh kerjasama Otokar dengan Boustead Holdings Berhad di bawah Projek Pertahanan Nasional menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Kerjasama tersebut melibatkan pembangunan keupayaan pemasangan serta pembuatan platform casis beroda bagi keperluan industri pertahanan negara.
Ia turut diperkukuh semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 di Kuala Lumpur sebelum ini sebagai usaha memperluas kehadiran Otokar di rantau Asia-Pasifik.
Dalam lawatan sama, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan syarikat pertahanan Turkiye, HAVELSAN yang kini membekalkan CMS bagi LMS Batch Kedua TLDM.
Pertemuan tersebut memberi ruang untuk mengenali lebih dekat produk, teknologi dan inovasi HAVELSAN khususnya dalam Combat Management System (CMS), sistem simulasi, kecerdasan buatan (AI) serta decision support bagi operasi ketenteraan moden.
Perbincangan turut menyentuh kerjasama strategik yang akan diwujudkan bersama Boustead Holdings Berhad, sekali gus memperkukuh pelaksanaan DIPN yang mencerminkan hubungan pertahanan Malaysia–Turkiye yang semakin mendalam.
Kerjasama ini juga selari dengan usaha Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkukuh penyelesaian tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada produk luar serta membuka ruang penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global industri pertahanan
Mohamed Khaled menyifatkan upacara bersejarah penamaan dan pelancaran Kapal Misi Pesisir (LMS) sebagai tradisi penting angkatan laut yang menandakan peralihan rasmi kapal dari darat ke air serta penamaan rasmi kapal.
Beliau berkata, kapal tersebut dinamakan Tunku Laksamana Abdul Jalil Sultan Ibrahim iaitu Tengku Laksamana Johor sebagai penghormatan kepada Almarhum atas keberanian, ketabahan dan semangat juangnya yang menjadi inspirasi ketika berjuang melawan kanser.
Katanya, Tunku Abdul Jalil juga merupakan anggota moden pertama Keluarga Diraja Johor yang memegang gelaran Tunku Laksamana Johor, yang merujuk kepada gelaran laksamana dalam tradisi Melayu sebagai pemegang tanggungjawab tertinggi pertahanan maritim.
“Frasa Fight Like Jalil turut menjadi simbol keberanian dan keazaman baginda dalam menghadapi penyakit sehingga ke akhir hayat.
“Penamaan kapal itu disifatkan sebagai penghormatan yang tepat kepada nilai keberanian, ketabahan dan keazaman yang menjadi etos TLDM,” katanya ketika berucap pada Majlis Penamaan dan Pelancaran Kapal Misi Pesisir Batch (LMS) Batch 2 TLDM, kelmarin.

Menurut Mohamed Khaled, kapal tersebut mencerminkan pencapaian bersejarah dalam kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Turkiye melalui pembinaan tiga buah Kapal Misi Pesisir Batch 2.
Katanya, kerjasama itu merupakan kerjasama kerajaan dengan kerajaan pertama dalam perolehan kapal perang TLDM, sekali gus membuktikan kepercayaan mendalam antara kedua-dua negara.
Beliau turut menekankan bahawa kepercayaan merupakan elemen paling bernilai dalam hubungan antarabangsa khususnya dalam diplomasi pertahanan.
“Malaysia amat menghargai Turkiye atas kecemerlangan teknikalnya serta sebagai rakan yang dipercayai yang sentiasa menunaikan komitmen dan perjanjian yang dipersetujui.
“Saya juga berharap agar kerjasama Malaysia–Turkiye akan terus berkembang melangkaui projek LMS kepada pelbagai inisiatif lain dalam bidang pertahanan,” ujarnya.
Tambah beliau, Malaysia turut melihat potensi besar untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Turkiye dalam pertukaran pengetahuan dan pemindahan teknologi.
Ini kerana perjalanan Turkiye dalam membangunkan keupayaan pertahanan kendiri sebagai contoh kejayaan berasaskan visi strategik dan komitmen nasional.
“Malaysia turut menyatakan optimisme untuk memperkukuh industri pertahanan tempatan melalui perkongsian strategik tersebut.
“Kapal LMS dibina berasaskan reka bentuk korvet ADA Class oleh STM ini merupakan aset tempur terkini TLDM yang direka untuk operasi pelbagai dimensi.
“Kejayaan pelancaran ini turut menyaksikan kemajuan kejuruteraan yang signifikan apabila kapal tersebut akan memulakan fasa Setting to Work (STW) dan integrasi sistem peperangan dan penderia di kapal,” katanya.
Beliau turut yakin projek tersebut berjalan mengikut perancangan dengan ketiga-tiga kapal akan diserahkan menjelang akhir tahun 2027 hasil kerjasama TLDM, STM dan Limbungan Kapal Istanbul.
“Pembinaan kapal ini juga menzahirkan keberkesanan kerjasama strategik antara Malaysia dan Turkiye terutama dalam aspek pemindahan teknologi di antara dua negara,” katanya. – UTUSAN










