Malaysia serah misi AOT kepada Filipina

Malaysia serah misi AOT kepada Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman menyempurnakan Majlis Handing Over Taking Over (HOTO) dan Transfer of Authority (TOA) Misi ASEAN Observer Team (AOT) Kemboja-Thailand hari ini, menandakan penyerahan rasmi tanggungjawab kepimpinan misi AOT daripada Malaysia kepada Filipina.

Majlis berkenaan berlangsung di Bangunan GHQ Kem General Emilio Aguinaldo, Manila, Filipina.

Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan berkata, acara signifikan berkenaan adalah sebahagian daripada kerangka lawatan rasmi PAT ke Filipina bermula semalam hingga esok.

Katanya, penyerahan itu juga selari dengan pelantikan negara berkenaan sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2026.

“Misi AOT ditubuhkan sebagai mekanisme pemerhatian keamanan bagi memantau gencatan senjata di kawasan sempadan 817 kilometer (km) yang sering bergolak. “Penubuhannya bermula secara rasmi pada 10 September tahun lalu di Kemboja sebagai Interim Observer Team (IOT) ekoran krisis sempadan yang memerlukan campur tangan diplomatik segera.

“Fasa awal membabitkan penyertaan empat negara anggota iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Singapura.

“Kerangka operasi misi seterusnya diperkukuh melalui Terms of Reference (TOR) yang dimuktamadkan pada 23 Oktober lalu bagi menjamin ketelusan sikap berkecuali dan integriti pemerhatian mutlak.

“Evolusi strategik itu membawa kepada penubuhan AOT yang menyaksikan pengembangan penyertaan membabitkan Laos, Brunei dan Vietnam bagi melaksanakan misi pemerhatian yang lebih menyeluruh,” katanya.

Majlis Angkatan Tentera berkata, Malaysia melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memainkan peranan penting sebagai fasilitator dan koordinator bagi memastikan setiap negara anggota menghormati perjanjian keamanan yang telah ditandatangani.

“Sepanjang tempoh kepimpinan Malaysia, ATM menterjemah standard profesionalisme yang tinggi serta dedikasi berterusan bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan misi di lapangan.

“ATM menzahirkan keyakinan penuh terhadap keupayaan Filipina dalam meneruskan mandat ini dengan cemerlang selaras dengan semangat kesepaduan ASEAN. Usaha ini adalah cerminan iltizam ASEAN dalam mengekalkan kestabilan dan keyakinan bersama di rantau ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia kekal komited menyalurkan sokongan berterusan dari segi kepakaran, sumber dan kerjasama strategik bagi memastikan kejayaan misi secara menyeluruh.

“Pemeliharaan hubungan diplomatik dan keamanan serantau kekal menjadi keutamaan mutlak bagi memastikan kesejahteraan bersama terus terpelihara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN