PETALING JAYA: Projek pembinaan Jambatan Sungai Air Tawar yang menghubungkan Selangor dan Perak mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya mencapai 1 juta jam bekerja selamat tanpa kecederaan (LTI), sekali gus mencerminkan komitmen tinggi terhadap budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
Majlis perasmian sambutan pencapaian 1 juta manhours tanpa LTI bagi projek yang menghubungkan kawasan Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor ke Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak, disempurnakan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, Muhammad Nizam Ali, baru-baru ini.
Muhammad Nizam berkata, pencapaian itu bukan sekadar angka, sebaliknya hasil daripada usaha berterusan semua pihak dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat.
“Setiap jam tanpa insiden bukan kebetulan, tetapi hasil perancangan sistematik, pemantauan berterusan dan komitmen semua pihak daripada pengurusan hingga ke pekerja di lapangan.
“Contohnya jika berlaku kes maut, banyak prosedur perlu ikuti, dan pegawai terpaksa membuka kertas siasatan (IP) untuk perbicaraan di mahkamah. Turun naik mahkamah juga memenatkan bagi semua pihak. Banyak pembaziran masa berlaku apabila tindakan punitif diambil sedangkan masa tersebut lebih baik diluangkan untuk perancangan program berimpak tinggi yang boleh menguntungkan pelbagai pihak,” katanya.
Majlis itu diadakan bersempena sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia yang disambut setiap 28 April, dengan penekanan terhadap kepentingan kesejahteraan psikososial pekerja selain keselamatan fizikal.
Sambutan hari berkenaan diperkenalkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sejak 2003 bertujuan menekankan pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan melalui kekuatan tripartite iaitu kerajaan, majikan, dan pekerja, serta dialog sosial yang berterusan.
Di sebalik sambutan ini, terdapat juga makna yang sangat mendalam, iaitu memperingati mangsa-mangsa kemalangan industri dan penyakit pekerjaan oleh kesatuan-kesatuan sekerja di seluruh dunia.
Perkara ini adalah detik renungan buat kita semua bahawa setiap angka kemalangan adalah satu nyawa, satu keluarga dan satu impian yang hancur. Justeru, pencegahan adalah lebih baik daripada penyesalan.
Beliau turut memaklumkan, sehingga bulan lalu, sebanyak tujuh kes kematian berkaitan pekerjaan dilaporkan di Selangor, dengan lima daripadanya membabitkan sektor pembinaan.
Selain itu, sebanyak 16 kes hilang upaya kekal (HUK), 524 kes tidak hilang upaya kekal (THUK), 36 kejadian berbahaya serta 576 kes penyakit pekerjaan turut direkodkan.
Beliau berkata, statistik terbabit menunjukkan sektor pembinaan masih berisiko tinggi dan memerlukan komitmen berterusan semua pihak dalam memperkukuh budaya pencegahan serta pematuhan terhadap standard keselamatan.
“Sehubungan itu, pencapaian projek ini diharap dapat menjadi contoh kepada projek pembinaan lain dalam usaha mencapai sasaran sifar kemalangan di tempat kerja.
Sementara itu, kontraktor utama projek berkenaan, Meranti Budiman Sdn Bhd bersama kontraktor kerja utama BBSB Holdings Sdn Bhd, turut memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar melalui pelaksanaan program “Penanaman 1001 Bakau – Satu Pokok, Sejuta Harapan”.
Pengarah Eksekutif BBSB Holdings Sdn Bhd, Tan Tze Tung, berkata inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memastikan pembangunan infrastruktur berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar, khususnya di kawasan muara Sungai Bernam yang terlibat dengan pembinaan jambatan.
Program berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Global Environment Centre (GEC), Sahabat Bakau, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) daripada aspek penyelidikan dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dari aspek keselamatan.
Sebanyak 1,001 pokok spesies Bakau Minyak (Rhizophora apiculata), Nipah (Nypa fruticans) dan Bakau Kurap (Rhizophora mucronata) akan ditanam di kawasan seluas 0.5 ekar di muara Sungai Bernam.
Pelaksanaan program ini dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa 1 bermula Mei 2026 hingga Julai 2027 dan Fasa 2 dari Ogos 2026 hingga Disember 2027, membabitkan tempoh semaian selama dua bulan diikuti proses penanaman selama satu tahun bagi setiap fasa.
Inisiatif itu dijangka memberi impak positif kepada pemulihan ekosistem setempat termasuk habitat hidupan seperti kunang-kunang dan ketam, selain menyokong pembangunan eko-pelancongan di kawasan berkenaan.
Turut diadakan pada majlis itu ialah penyampaian anugerah kepada kontraktor cemerlang dalam penilaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui sistem SHASSIC dan SPAS, sebagai pengiktirafan komitmen tinggi dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat.-UTUSAN










