Baja IWK alternatif pekebun kecil - Utusan Malaysia

Baja IWK alternatif pekebun kecil

INDAH Water Konsortium (IWK) Sdn.Bhd menjalankan penyelidikan penghasilan baja organik di Loji Perintis Kajian Biosolids IWK sebagai Baja Organik sebagai penyelesaian pergantungan baja import.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam menghadapi isu kekurangan baja, penyelesaian berskala kecil mampu membantu pekebun kecil Malaysia.

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) baru-baru ini melaporkan bahawa gangguan bekalan baja akibat ketegangan geopolitik Iran-AS menimbulkan ancaman berganda kepada keselamatan makanan global melalui kekurangan pengeluaran dan peningkatan harga.

Apabila ketegangan global yang berlaku hari ini, ia menjejaskan rantaian bekalan, yang mana sektor pertanian Malaysia turut terkesan, terutamanya dari segi kekurangan baja.

Ekoran konflik berterusan di Timur Tengah hingga sekatan eksport dari China, kos dan ketersediaan baja menjadi semakin tidak menentu. Bagi petani Malaysia, khususnya pekebun kecil, kesannya dirasai serta-merta.

Semasa pelancaran Dasar Keselamatan Makanan Negara 2023 (DKMN 2030) pada Januari 2026, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Haji Fadillah Bin Haji Yusof menekankan betapa pentingnya menangani cabaran ini.

Beliau berkata, “Apabila kos input meningkat, ia mencetuskan kesan domino, membawa kepada inflasi harga makanan global. Beban ini akhirnya akan ditanggung rakyat. Kebergantungan kita kepada rantaian bekalan luar menjadikan kita terdedah kepada kejutan ekonomi global”.

Situasi ini semakin ketara bagi bekalan baja Malaysia.

Krisis yang Semakin Meningkat

Menurut laporan berita, Malaysia hanya mengeluarkan kira-kira 39 peratus daripada keperluan bajanya di dalam negara, menyebabkan negara ini amat bergantung kepada keperluan baja import.

Pada masa yang sama, China yang membekalkan satu pertiga daripada baja import Malaysia telah mengetatkan eksportnya bagi melindungi bekalan makanan mereka sendiri.

Lebih memburukkan keadaan, gangguan dalam laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz yang merupakan laluan yang membawa satu pertiga daripada perdagangan baja global, telah menyebabkan peningkatan kos dan masa penghantaran.

Di Malaysia, kesannya telah dirasai apabila pengeluar baja tempatan dilaporkan telah menghentikan tempahan baharu kerana harga bahan mentah telah melonjak 100% hingga 150% dalam masa beberapa minggu.

Bagi petani sayur berskala besar, risikonya juga tinggi. Kebergantungan kepada baja yang diimport, terutamanya untuk sistem fertigasi, menyebabkan mereka mudah terkesan apabila berlaku gangguan bekalan global.

Ketegangan berterusan yang menjejaskan laluan utama seperti Selat Hormuz, ditambah dengan sekatan eksport China atas bahan seperti urea, nitrogen dan fosfat, memberi tekanan segera kepada kos bekalan dan pengeluaran.

Bagi pekebun kecil pula, kesannya lebih besar. Dengan keuntungan yang lebih kecil, keluasan tanah terhad dan hasil yang rendah, mereka kurang berupaya menampung kenaikan harga atau gangguan bekalan. Akses berterusan kepada baja bukan sahaja penting, tetapi kritikal untuk kelangsungan hidup mereka.

Golongan pekebun kecil memerlukan pendekatan penyelesaian yang berbeza.
Syarikat besar mungkin berupaya menyerap kenaikan harga atau membeli barangan secara pukal, tetapi pekebun kecil selalunya tidak mempunyai keupayaan yang sama.

Adalah penting untuk mencari pendekatan yang lebih cekap bagi membantu mereka.

Satu usaha ke arah itu adalah kajian penyelidikan pra-pengkomersilan yang dijalankan oleh syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn.Bhd, sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui cabang penyelidikannya, Indah Water Research Centre (IWRC), telah menunjukkan potensi penyelesaian dalam sektor pertanian.

Kajian yang telah dijalankan menilai keberkesanan baja organik IWK, yang dihasilkan daripada biosolids, hasil proses rawatan kumbahan. Ujian dijalankan kepada empat tanaman landskap (Vinca, Marigold, Japanese Rose dan Petunia) dan empat tanaman makanan (okra, sawi hijau, terung dan keledek) di dalam persekitaran rumah hijau.

Hasil kajian menunjukkan peningkatan ketara dalam pertumbuhan tanaman dan kualiti tanah. Baja berasaskan biosolids ini membekalkan nutrien penting seperti nitrogen, fostorus dan kalium yang diperlukan untuk perkembangan tanaman, sekali gus membuktikan bahawa baja IWK selamat untuk kegunaan pertanian.

Pokok kelapa sebelum penggunaan baja organik IWK dan penggalak tanaman IWK

Dalam percubaan berasingan yang dijalankan di ladang kelapa, pokok-pokok yang terjejas akibat panas yang melampau mengalami tekanan teruk sehingga kelihatan hangus dan merosot dengan ketara.

Namun, selepas penggunaan gabungan baja organik IWK dan penggalak tumbuhan IWK selama lima bulan, perubahan yang positif mula kelihatan. Pokok kelapa beransur pulih, dengan pertumbuhan pelepah baharu serta penghasilan buah yang kembali berlaku.

Satu lagi percubaan melibatkan rumput Napier, sejenis rumput yang cepat tumbuh dan digunakan secara meluas sebagai tanaman pelbagai guna.

Percubaan ini menggunakan gabungan biosolids kering sebagai baja bersama penggalak tumbuhan IWK selama 15 bulan. Hasilnya menunjukkan pertumbuhan vegetatif yang sihat serta peningkatan ketara dalam pengeluaran biomas. Ini disumbangkan oleh kandungan nutrien penting dalam biosolids kering yang menyokong perkembangan tanaman dengan lebih baik.

Gabungan Baja Organik IWK dengan Penggalak Tumbuhan IWK
di Rumput Napier

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Encik Narendran Maniam berkata, penyelesaian ini menunjukkan betapa kayanya baja organik IWK sehingga ia mampu membantu pekebun kecil dan meningkatkan ketahanan tanaman.

“Dalam satu ujian di ladang kelapa, baja IWK digunakan sekali setiap dua minggu dan ini telah mengurangkan kos pembelian baja daripada pembekal lain sebanyak kira-kira 68%. Ini merupakan kelebihan besar bagi petani yang beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil.

“Daripada bergantung kepada jumlah input konvensional yang lebih tinggi, formulasi baja organik IWK memberi tumpuan kepada penyampaian aplikasi yang kaya dengan nutrien yang memaksimumkan keberkesanan setiap penggunaan,” tambah Narendran.

Untuk tanaman seperti kelapa dan rumput Napier, di mana kesihatan tanah dan produktiviti jangka panjang adalah penting, strategi ini boleh membantu mengurangkan ketergantungan pada kualiti besar baja import sementara mengekalkan hasil tanaman.

“Baja organik IWK direka untuk meningkatkan penyerapan nutrien dan keadaan tanah, membolehkan petani mencapai hasil yang setanding dengan jumlah penggunaan yang lebih rendah. Dalam pasaran yang bekalannya tidak menentu, kecekapan ini menjadi penting,” tambahnya.

Baja Organik IWK: Alternatif kepada krisis yang kian meruncing

Dihasilkan daripada enap cemar kumbahan yang dirawat daripada loji rawatan kumbahan, baja organik IWK mengandungi kira-kira 7% unsur NPK (Nitrogen, Fosforus dan Kalium), menjadikannya penyelesaian yang berkesan untuk memulihkan tanah yang tidak berkualiti dan membekalkan nutrien penting yang diperlukan untuk pertumbuhan tanaman.

Yang lebih penting, baja IWK telah diiktiraf Majlis Agama Kebangsaan; Muzakarah ke-126 (25–27 Feb 2025) memutuskan biosolids sebagai baja organik adalah HARUS jika selamat dan bermanfaat.

Kedudukan ini diperkukuh oleh fatwa Majlis Agama Islam Pahang (2025), susulan kelulusan Negeri Sembilan (2006), Kedah (2016) dan Selangor (2024), mencerminkan peningkatan penerimaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN