JOHOR BAHRU: Kertas siasatan melibatkan kejadian seorang anggota tentera yang cedera parah di Kem Iskandar, Mersing, bulan lalu telah diserah kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Selasa lalu bagi mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, kertas siasatan itu dilengkapkan selepas pihaknya menahan dua anggota tentera berusia 24 tahun pada pukul 11.45 malam, 14 Mac lalu bagi membantu siasatan kes.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.31 malam 14 Mac lalu sebelum menahan dua suspek kerana disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan pada hari yang sama.
“Laporan diterima memaklumkan mangsa yang berusia 25 tahun mengalami retak pada bahagian tengkorak kepala selain pendarahan dalam otak disebabkan kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Ab. Rahaman, mangsa kini masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
“Susulan kejadian itu, polis turut merampas sebatang rotan sepanjang kira-kira 72 sentimeter yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian tersebut.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan juga negatif daripada sebarang jenis dadah,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan Peguam kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL), N. Surendran menuntut siasatan menyeluruh susulan insiden seorang anggota Rejimen 22 Komando di Kem Sri Iskandar cedera parah dipercayai selepas dikenakan hukuman dalam kem tentera.-UTUSAN










