KUANTAN: Pasdec Holdings Berhad (Pasdec) mengumumkan pelantikan Mohammad Ikhwan Mustapa Al Bakri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baru berkuat kuasa 1 Mei.
Mohammad Ikhwan, 41, mempunyai lebih 17 tahun pengalaman dalam perancangan dan pembinaan projek, pengurusan projek, pematuhan, kawalan kos serta penglibatan pihak berkepentingan.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Naib Presiden Pembangunan Hartanah dan Strategi di Pasdec, menerajui strategi pembangunan, pengambilan tanah, dan menyelia pelaksanaan projek secara menyeluruh bagi Kumpulan.
Sebelum menyertai Pasdec pada 2021, beliau berkhidmat sebagai Pengurus Projek di kumpulan syarikat Zenith Aim, memperoleh pengalaman luas dan kepakaran dalam pengurusan serta pembangunan projek, termasuk menyelia aktiviti pembinaan dan memastikan keselarasan dengan objektif projek, garis masa serta bajet.
Pengerusi Pasdec, Jeneral (B) Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, pengambilalihan tugas oleh Mohamed Ikhwan daripada Ketua Pegawai Eksekutif terdahulu mengekalkan kesinambungan dan memastikan operasi utama syarikat tersebut berjalan lancar.
“Kami yakin, dengan pengalaman dan kepakarannya, Mohammad Ikhwan akan terus memacu pertumbuhan jangka panjang Kumpulan untuk mencapai objektif ditetapkan Lembaga Pengarah. Kami juga merakamkan penghargaan kepada Ketua Eksekutif sebelum ini, Liew Chai Sen atas sumbangan kepada Pasdec.
“Mohammad Ikhwan akan menyelia keseluruhan operasi dan hala tuju strategik Pasdec untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan portfolio pembangunan Kumpulan serta memberi nilai yang mampan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan di sini. – UTUSAN










