Malaysia perlu modal pemimpin baharu

Malaysia perlu modal pemimpin baharu

AHMAD Samsuri Mokhtar ketika menyantuni para perwakilan pada Konvensyen Ulang Tahun ke-58 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM, Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan kepemimpinan baharu yang mampu menawarkan penyelesaian sebenar kepada rakyat dan bukan sekadar bermain retorik politik.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negara kini berada dalam fasa mencabar yang memerlukan kepemimpinan lebih cekap, berintegriti dan berupaya memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem politik serta pentadbiran negara.

“Malaysia memerlukan modal kepemimpinan baharu, bukan sekadar retorik tetapi penyelesaian sebenar.

“Negara ini mesti ditadbir dengan lebih cekap, berintegriti dan berlandaskan Perlembagaan, selain memastikan keadilan kepada seluruh rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Ulang Tahun ke-58 Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di ibu pejabat parti itu di Menara PGRM, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga ketua pembangkang berkata, Malaysia tidak boleh terus dibina atas politik syak wasangka dan budaya saling mencurigai kerana keadaan itu hanya melemahkan negara.

Malah, katanya, Malaysia kini turut berdepan perubahan global yang semakin kompleks termasuk persaingan kuasa besar dunia, geopolitik dan ekonomi digital yang memerlukan kestabilan politik bagi menarik pelaburan asing.

“Kita tidak boleh terus berperang atas dasar kecurigaan kerana pelabur luar memilih negara yang stabil.

“Negara akan menjadi kuat apabila wujud keyakinan rakyat. Rakyat Malaysia juga semakin sedar bahawa politik tidak boleh lagi berkisar kepada slogan dan janji bulan bintang siang malam,” katanya.

Naib Presiden Pas tersebut sementara itu berkata, keadaan semasa menuntut Gerakan memainkan peranan lebih besar termasuk menjadi parti dominan dalam landskap politik negara.

Katanya, usia 58 tahun parti itu bukan sekadar simbol sejarah tetapi mencerminkan kematangan perjuangan dan politik sederhana yang masih relevan sehingga kini.

Jelasnya, Gerakan juga mempunyai peranan penting sebagai jambatan persefahaman antara PN dan masyarakat Cina.

“Usia 58 tahun masih cukup bertenaga. Ia adalah usia kestabilan kehidupan telah berpaksi dalam diri.

“Gerakan juga pernah melalui episod paling pahit di Pulau Pinang namun seperti kata legenda tinju dunia, Muhammad Ali, ‘dalam gelanggang tiada masalah untuk jatuh, tetapi jangan terus tidak bangun’.

“Kita boleh jatuh, tersungkur dan tersepak kaki tetapi paling penting kita tidak mati dan terus bangkit bergerak ke hadapan bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN