Shahidan mahu semua pihak bertenang

Shahidan mahu semua pihak bertenang

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Semua pihak dalam Perikatan Nasional (PN) perlu bertenang susulan kenyataan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yang bersedia membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya wakil rakyat Pas melakukan undi tidak percaya terhadapnya.

Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, semua pihak perlulah menunggu keputusan rasmi berhubung kerjasama antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

Berikutan itu, pihaknya berharap agar tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pimpinan atau ahli parti sehingga keputusan dibuat berhubung perkara itu. 

“Bagi saya, kita kena bertenang sebab rakyat lebih memerlukan perkhidmatan kita buat masa ini, jadi kesimpulan adalah bertenang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Belia Negara 2026 di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, hari ini. 

Terdahulu, Abu Bakar memberi peringatan akan membubarkan DUN Perlis sekiranya enam wakil rakyat Pas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau dalam sidang DUN yang dijadual pada 3 hingga 5 Jun ini.

Shahidan berkata, buat masa sekarang, beliau juga tidak menerima sebarang arahan untuk bertindak lebih daripada keputusan kerjasama yang ditetapkan sebelum ini.  

“Berhubung kenyataan Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) itu, kita akan dengar ulasan nanti sebab benda ini bukan berlaku atas dasar begitu sahaja, mungkin kerana beberapa peristiwa yang menjurus kepada kenyataan tersebut seperti apa berlaku di Negeri Sembilan. 

“Jadi bagi kami, apa yang penting adalah untuk terus bagi perkhidmatan kepada rakyat kerana itu tugas kami. Apa pun keputusan, saya tidak akan ambil tindakan yang merugikan rakyat,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN