Malaysia berpotensi sebagai hab serantau peranti perubatan - Utusan Malaysia

Malaysia berpotensi sebagai hab serantau peranti perubatan

Dr. Muralitharan (empat dari kiri) bersama barisan tetamu kehormat memotong reben gimik perasmian pameran Shanghai Fair Healthcare Malaysia 2026 di MITEC, Kuala Lumpur, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) menyasarkan Malaysia muncul sebagai hab peneraju industri peranti perubatan di Asia Tenggara menerusi kerjasama strategik bersama pemain industri antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif MDA, Dr. Muralitharan Paramasua berkata, Malaysia mempunyai kelebihan strategik kerana produk peranti perubatan yang didaftarkan di negara ini boleh memasuki pasaran Singapura, Thailand dan Filipina dengan lebih pantas menerusi sistem sandaran (reliance system).

Menurut beliau, kelebihan itu menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk utama bagi syarikat luar, khususnya dari China, untuk menembusi pasaran Asia Tenggara.

“Apabila syarikat dari China mendaftar produk mereka di Malaysia, mereka boleh menggunakan sistem reliance untuk memasuki pasaran negara jiran dengan proses yang lebih cepat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan fasa kedua sistem reliance yang akan bermula 1 Jun ini bakal membolehkan semua kelas peranti perubatan mendapat kelulusan pantas dalam tempoh antara 14 hingga 30 hari.

Katanya, langkah itu diyakini dapat mempercepat tempoh kemasukan produk ke pasaran berbanding prosedur biasa yang diamalkan di beberapa negara lain.

Inisiatif tersebut turut diperkukuh menerusi penganjuran sulung Shanghai Fair Healthcare Malaysia 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Sementara itu, Presiden Persatuan Promosi Pembangunan Industri Peranti Perubatan Delta Sungai Yangtze Shanghai, Lin Senyong berkata, kedudukan strategik Malaysia menjadikannya lokasi ideal sebagai hab utama ke pasaran penjagaan kesihatan Asia Tenggara.

“Pameran ini menjadi platform penting kepada syarikat China dan Malaysia untuk meneroka peluang kerjasama baharu, pelaburan serta kolaborasi teknologi yang mampu memacu inovasi penjagaan kesihatan di rantau ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sektor peranti perubatan terus memainkan peranan penting kepada pertumbuhan ekonomi negara apabila merekodkan nilai eksport sebanyak RM37 bilion tahun lalu.

Sepanjang pameran dagang dua hari itu, sebanyak 73 pameran fizikal melibatkan 150 wakil pempamer dari China menghimpunkan pelbagai produk berteknologi tinggi termasuk sistem robotik pembedahan kanser dan peranti pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Setakat hari pertama penganjuran, lebih 1,000 delegasi tempatan termasuk institusi hospital terkemuka telah mendaftar bagi menyertai sesi padanan perniagaan untuk meneroka peluang pelaburan langsung asing (FDI) dan usaha sama strategik. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN