PETALING JAYA: 10 tahun berada dalam industri, pelakon, Fadhli Masoot mengakui dirinya tidak menerima banyak tawaran lakonan seperti rakan seperjuangannya yang lain.
Tidak ingat kali terakhir membintangi naskhah di layar televisyen, Fadhli berkata dia bersyukur apabila rezeki kerjayanya lebih tertumpu kepada karya yang lebih besar seperti filem.
“Saya tidak mendapat tawaran berlakon serancak rakan-rakan yang lain. Ada antara mereka sebulan dua atau tiga kali orang panggil untuk tawaran berlakon.
“Tetapi saya, boleh katakan sebulan mungkin sekali sahaja tawaran itu datang. Cuma saya tidak tahu sekarang ini Allah aturkan saya banyak menerima tawaran untuk berlakon filem.
“Kebanyakannya datang apabila saya sudah selesai menjayakan sesebuah naskhah. Alhamdulillah, walaupun tidak banyak, tawaran itu tidak putus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fadhli berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran filem HAK: Tuntut atau Tunduk pada Khamis.
Tambah Fadhli, kerjaya seninya juga tidak tertumpu kepada dunia lakonan semata, sebaliknya dia sudah mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan setiap kali mempunyai masa terluang.
“Kalau tiada tawaran pun saya akan buat kerja sendiri seperti mengarah muzik video dan sebagainya. Apabila ada banyak masa itu saya belajarlah dan tambah ilmu,” jelasnya.
Bagaimanapun, pelakon drama Projek High Council itu menganggap bakatnya kurang menyerlah berbanding yang lain kerana dirinya tidak terikat dengan mana-mana pihak pengurusan.
“Untuk dapat kerja itu tidak susah, kerana tawaran itu ada. Tetapi mungkin kerana saya bergerak sendiri dan tiada pengurus. Saya pula segan untuk mendekati orang dalam industri terutamanya golongan atasan.
“Masa awal pembabitan dahulu, saya banyak hantar resume ke merata-rata syarikat penerbitan. Tetapi tiada sebarang respons. Mungkin belum rezeki. Saya serahkan kepada aturan Tuhan. Kalau sudah tertulis, pasti jadi,” ujarnya.
Mengulas mengenai filem HAK: Tuntut atau Tunduk, filem arahan Ezrie Gazali terbitan Astro Shaw bersama Enotech Pictures dan Icon Pictures itu mengangkat realiti kehidupan masyarakat masa kini termasuk tekanan ekonomi dan pilihan getir demi kelangsungan hidup.
Selain Fadhli, filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Beto Kusyairy, Mimi Lana dan Fizz Fairuz.










