HANOI: Dua beg tangan mewah Hermes milik taikun hartanah Vietnam yang kini dipenjarakan, dijual di lelongan dengan harga melebihi AS$500,000 (RM1.9 juta) ketika kerajaan berusaha mendapatkan semula dana berkaitan skandal penipuan bernilai AS$27 bilion (RM107 bilion).
Pembangun hartanah, Truong My Lan disabitkan kesalahan pada 2024 kerana menyeleweng wang daripada Saigon Commercial Bank (SCB) yang menurut pendakwa raya berada di bawah kawalannya.
Beliau pada awalnya dijatuhi hukuman mati dalam salah satu kes rasuah terbesar Vietnam, namun kini menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas Hanoi memansuhkan hukuman mati bagi beberapa jenis kesalahan.
Sebuah beg kulit koleksi Birkin Hermes dihiasi batu permata putih yang dirampas semasa siasatan, dijual pada Khamis di Pusat Perkhidmatan Lelongan Aset Ho Chi Minh City dengan harga 11.6 bilion dong (RM1.7 bilion), menurut media kerajaan. Satu lagi beg Hermes dijual pada harga 2.5 bilion dong (RM376,748).
My Lan sebelum ini meminta mahkamah memulangkan beg Birkin albino yang jarang ditemui itu, mendakwa satu dibeli di Itali dan satu lagi diterima sebagai hadiah daripada seorang ahli perniagaan Malaysia.
Beliau menyifatkan barangan tersebut sebagai ‘kenangan’ yang ingin dipulangkan kepada keluarganya, menurut laporan media kerajaan.
Puluhan ribu orang yang melaburkan simpanan mereka dalam Saigon Commercial Bank kehilangan wang, sekali gus mengejutkan negara komunis itu dan mencetuskan protes yang jarang berlaku daripada mangsa.
My Lan diarahkan untuk memberi pampasan kepada mangsa dan setakat ini telah membayar lebih 12 trilion dong (RM1.8 bilion) kepada pemegang bon, menurut kenyataan di laman web kerajaan.
Tiga buah kereta milik My Lan iaitu Maybach, BMW dan Lexus juga dijadualkan untuk dilelong pada Jumaat.-AFP/AGENSI










