KPKT pulih 1,576 projek perumahan swasta bermasalah

KPKT pulih 1,576 projek perumahan swasta bermasalah

AIMAN ATHIRAH SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 1,576 projek perumahan swasta bermasalah berjaya dipulihkan sejak penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) pada 2023.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, jumlah itu melibatkan 185,525 unit rumah dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM148.21 bilion.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 131 projek berjaya dipulihkan daripada status sakit kepada lancar manakala 1,410 projek sakit disiapkan sepenuhnya sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Katanya, sebanyak 35 projek terbengkalai turut berjaya dipulihkan sama ada melalui penyiapan fizikal projek atau menerusi pelan penyelesaian pembeli.

“KPKT tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang mengabaikan hak pembeli.

“Fokus kita bukan sekadar memulihkan struktur fizikal, tetapi mengembalikan impian dan kebajikan rakyat yang telah lama terjejas akibat isu projek sakit ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Aiman berkata, statistik projek perumahan swasta kategori lewat dan sakit di Semenanjung Malaysia menunjukkan trend penurunan berbanding Mac lalu.

Katanya, setakat 30 April lalu, sebanyak 130 projek lewat dan 302 projek sakit direkodkan, manakala hanya satu projek baharu berstatus terbengkalai dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan projek terbengkalai sebanyak 100 projek.

Beliau berkata, perkembangan positif itu membuktikan pendekatan proaktif dan bersepadu yang diambil KPKT mula membuahkan hasil lebih teratur serta berfokus.

“KPKT terus memperkukuh pendekatan turun padang bagi memastikan pemantauan projek bermasalah dilaksanakan secara dinamik dan berkesan.

“Sehingga April lalu, sebanyak 22 lawatan tapak melibatkan projek berstatus lewat dan sakit dilaksanakan bagi tujuan pemantauan rapi serta intervensi segera di lapangan.

“Hasilnya, 11 daripada projek yang dilawati itu berjaya memperoleh CCC,” katanya.

Menurut KPKT, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama erat antara pasukan TFST, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal serta syarikat penyedia utiliti.

Katanya, pasukan TFST akan terus memantau setiap projek bermasalah secara teliti bagi memastikan pelan pemulihan berjalan lancar selaras dengan matlamat kementerian ke arah sifar projek terbengkalai.

“KPKT menerusi TFST kekal komited bertindak sebagai medium penyelesaian utama melalui strategi intervensi yang praktikal bagi melindungi hak pembeli rumah.

“Kami juga bertekad melandaikan statistik pemajuan bermasalah secara berfasa, sekali gus merealisasikan sasaran sifar projek terbengkalai menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN