KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengagihkan lebih RM447 juta dana zakat kepada golongan asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan, setakat semalam.
Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, agihan tersebut dilaksanakan secara telus dan berterusan menerusi 38 skim bantuan merangkumi pelbagai keperluan termasuk pendidikan, kebajikan dan pembangunan asnaf.
Katanya, MAIWP turut menunjukkan prestasi baik dari sudut tadbir urus termasuk aspek audit dan ketelusan dalam pengurusan dana zakat.
“Alhamdulillah, MAIWP cemerlang dari sudut audit dan tata kelola, pengurusan dan juga ketelusan. Setakat semalam (12 Mei) MAIWP telah mengagihkan lebih RM447 juta dengan 38 skim bantuan yang kita usahakan.
“Malahan kita boleh lihat apakah yang telah pun diagihkan oleh MAIWP dengan begitu telus sekali. Jadi kita ucapkan tahniah kepada MAIWP yang telah menunjukkan satu konsistensi serta penanda aras dan amalan terbaik untuk agihan zakat di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) Ke-32, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 88 graduan IKB diraikan sebagai tanda kejayaan selepas menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang kemahiran.
Antara bidang yang ditawarkan termasuk Teknologi Binaan Bangunan, Sijil Rekaan Fesyen dan Pembuatan Pakaian serta Sijil Seni Reka Grafik Komputer.
Tambahnya, kejayaan graduan IKB juga membuktikan keberkesanan program pembangunan asnaf melalui pendidikan dan latihan kemahiran yang dilaksanakan.
“Alhamdulillah hari ini kita menyaksikan anak-anak kita diraikan dengan kejayaan-kejayaan dan juga alumni-alumni IKB yang menunjukkan kecemerlangan daripada sudut usahawanan dan juga dari lapangan pekerjaan.
“Jadi kita ucapkan tahniah kepada IKB dan juga MAIWP yang mengusahakan, melaksanakan program ini, telah menyumbang sangat signifikan kepada masyarakat dan negara,” katanya. – UTUSAN










