Saari Sungib terlalu jauh untuk dikaitkan dengan penyelewengan RM230 juta - Anfaal

Saari Sungib terlalu jauh untuk dikaitkan dengan penyelewengan RM230 juta – Anfaal

Saari Sungib
ANFAAL SAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib tidak wajar dikaitkan dengan kes penyelewengan RM230 juta dihadapi oleh dua individu termasuk timbalan pengerusi sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO).

Bekas ahli jawatankuasa Wanita Ikram, Anfaal Saari berkata, bapanya sebagai individu pernah menjadi presiden pertubuhan itu yang dahulu dikenali sebagai Jemaah Islam Malaysia (JIM) terlalu jauh untuk dikaitkan dengan isu penyelewengan tersebut.

“Ayah saya adalah bekas presiden selama 10 tahun, sebelum beliau terlibat dalam politik bertanding (Hulu Klang) dan sebagainya.

“Hendak sebut nama Ikram, siapa orang dari belakang, hendak kata semua yang terlibat itu salah? Jadi salah satu pertubuhan itu (Ikram) sangat besar, ada yang jadi tokoh, ada yang jadi aktivis, ada yang main peranan profesional dan sebagainya.

“Tetapi hanya kerana satu kes, kita tak boleh memukul ratalah semua yang berada dalam organisasi tu,” katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Terdahulu tular kenyataan daripada seorang pengguna Facebook, Aliff Ahmad mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ‘menyerang’ Ikram yang didakwa sebagai pro Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Utusan Malaysia semalam melaporkan, semua ahli Ikram yang terpalit siasatan SPRM direhatkan serta-merta, termasuk dua yang direman empat hari berkait penyelewengan dana kira-kira RM230 juta.

Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sewajarnya selaras dengan keperluan undang-undang serta prinsip keadilan dalam kes penahanan tiga individu di Hulu Selangor itu.

Anfaal yang juga ADUN Taman Templer kemudian meminta masyarakat terutama pengguna media sosial tidak menghukum terlalu awal individu-individu yang sedang disiasat SPRM itu sehinggalah mereka dihadapkan dan diputuskan oleh mahkamah.

“Saya rasa kita perlu didik masyarakat supaya lebih objektiflah ada setengah kes dalam mana-mana organisasi.

“Jadi netizen tidak boleh menjadi penghukum lebih awal jadi saya kira kita perlu objektif lebih adil meskipun mana-mana ahli NGO tersebut ada sentimen tetapi tetap kita perlu berlaku adil,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN