Mahkamah benar semakan kehakiman tiga NGO cabar nyahsenarai nikotin vape - Utusan Malaysia

Mahkamah benar semakan kehakiman tiga NGO cabar nyahsenarai nikotin vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa pengecualian cecair dan gel nikotin bagi kegunaan rokok elektronik serta vape daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 adalah tidak sah.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman turut menyatakan pengecualian dalam Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 adalah tidak rasional dan dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.

Pengecualian itu juga dibuat dibuat di luar kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6 Akta Racun 1952.

“Mahkamah berpuas hati bahawa keputusan mengecualikan nikotin daripada Senarai Racun didorong terutamanya oleh faktor ekonomi.

“Ia susulan cadangan kerajaan untuk mengenakan duti eksais terhadap cecair rokok elektronik dan vape bernikotin ketika pembentangan Belanjawan 2023.

“Kerajaan tetap meneruskan pengecualian tersebut bagi membolehkan produk itu dikenakan cukai, walaupun menyedari bahaya rokok elektronik dan cecair vape bernikotin terhadap kesihatan,” katanya dalam prosiding yang diadakan menerusi aplikasi Zoom.

Mahkamah berkata demikian ketika membenarkan semakan kehakiman tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencabar keputusan Menteri Kesihatan dan Kerajaan Malaysia berhubung pengecualian itu.

Tiga pemohon itu ialah Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) dan Voice of the Children Sdn. Bhd. (VOC).

Ketika membaca penghakimannya, Hakim Aliza berkata, mahkamah turut mendapati wujud kelompongan undang-undang dalam mengawal selia rokok elektronik dan produk vape bernikotin sebelum Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024.

Katanya, keadaan itu mengukuhkan hujahan pemohon bahawa pengecualian berkenaan tidak rasional kerana ketika tempoh material tersebut, belum ada kerangka undang-undang komprehensif yang mengawal selia produk berkenaan.

“Akta 852 hanya berkuat kuasa selepas itu. Ini bermakna sebelum akta tersebut berkuat kuasa, belum ada undang-undang komprehensif yang mengawal selia produk berkenaan.

“Parlimen tidak pernah berniat untuk membenarkan produk vape bernikotin berada dalam keadaan tidak dikawal,” katanya.

Berhubung isu rundingan, Hakim Aliza berkata, rundingan dengan Lembaga Racun di bawah Seksyen 6 Akta Racun 1952 bukan sekadar mandatori, sebaliknya perlu dibuat secara sedar, bermakna, bertujuan dan berkesan.

Katanya, dalam kes ini, tiada pertemuan fizikal antara responden pertama dan Lembaga Racun, selain tiada perbincangan lanjut atau pertukaran pandangan selepas keputusan sebulat suara lembaga itu dimaklumkan kepada responden pertama.

“Responden pertama kemudian meneruskan kemasukan pengecualian yang dipertikaikan dalam perintah tersebut tanpa sebarang penjelasan berhubung tindakannya yang bertentangan dengan nasihat Lembaga Racun,” katanya.

Hakim itu berkata, rundingan yang didakwa dilakukan responden hanya bersifat pematuhan formal terhadap Akta Racun, sedangkan rundingan berkesan memerlukan pertukaran pandangan dan pertimbangan terhadap cadangan balas.

Keadaan itu, katanya, mengukuhkan hujahan pemohon bahawa responden melayan proses rundingan sebagai formaliti semata-mata sehingga mengabaikan bukti mengenai bahaya rokok elektronik dan cecair vape terhadap kanak-kanak.

Beliau berkata, keterangan turut menunjukkan keputusan untuk mengenakan duti eksais sudah dibuat lebih awal, sekali gus menjadikan pengecualian tersebut seolah-olah sudah muktamad.

“Jika boleh saya nyatakan secara kasar, ia seolah-olah sudah muktamad,” katanya.

Semasa prosiding, peguam K. Shanmuga yang mewakili tiga NGO berkenaan manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan yang mewakili Menteri Kesihatan.

Tiada perintah kos dibuat selepas peguam pemohon memaklumkan perkara itu dibawa atas dasar kepentingan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN