54 kapal GSF hampir zon pintasan

54 kapal GSF hampir zon pintasan

SANI Araby Abdul Alim Araby menerangkan kedudukan terkini kapal pelayaran Global Sumud Flotilla 2.0 yang sedang memasuki fasa berisiko untuk dipintas pada sidang akhbar di Sepang, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sebanyak 54 buah kapal Global Sumud Flotilla (GSF) kini menghampiri fasa paling genting apabila berada di zon kuning 2, kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza sebelum memasuki zon berisiko tinggi dalam tempoh beberapa jam lagi.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, situasi itu meningkatkan kebimbangan berlakunya pemintasan oleh rejim Zionis, terutama ketika pelayaran memasuki waktu malam.

“Dalam tempoh beberapa jam akan datang, flotila dijangka memasuki zon berisiko tinggi pada waktu malam, di mana potensi berlaku pemintasan oleh pihak rejim Zionis adalah sangat tinggi,” katanya semasa sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, sebarang tindakan memintas kapal GSF bukan sekadar cubaan menggagalkan pelayaran malah dilihat sebagai usaha menyekat keabsahan koridor kemanusiaan maritim.

Katanya, koridor itu membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke kawasan bergolak tanpa sekatan berdasarkan klausa Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

“Pemintasan ini akan menjadi bukti kukuh salah laku rejim Zionis yang akan diheret ke muka pengadilan pada tahap tertinggi dengan kerjasama rangkaian peguam antarabangsa.

“Detik itu perlu disaksikan masyarakat dunia kerana apa sahaja tindakan terhadap flotila akan menjadi rekod penting dalam membuktikan sama ada laluan laut ke Gaza benar-benar boleh digunakan untuk misi bantuan,” katanya.

Menurut Sani Araby, SNCC turut melancarkan empat usaha menerusi Sumud Protocol bagi memperkukuh tekanan diplomatik, advokasi awam dan tindakan perundangan antarabangsa.

Tambahnya, usaha itu termasuk menggerakkan sokongan sekurang-kurangnya 150 Ahli Parlimen Malaysia merentas parti, mengabsahkan Deklarasi Brussels, melancarkan siaran langsung 100 jam Sumud Kita Untuk Gaza serta memfailkan tuntutan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Tumpuan ketika ini bukan lagi pada pelayaran semata-mata, sebaliknya keselamatan aktivis, status kapal dan kemungkinan tindakan rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan antarabangsa itu,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN