PETALING JAYA: Penyanyi rock, Keeth tampil melancarkan Extended Version (EP) berjudul, Hollywood Diaries yang menjadi rangkuman kisah perjalanan seni serta kehidupannya membina nama di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Menurut Keeth atau Keith Thein, keputusan untuk melancarkan EP tersebut dilakukan secara spontan selepas menyedari dia berjaya menghasilkan beberapa lagu dalam masa singkat.
“Pada mulanya saya hanya menulis lagu seperti biasa tanpa mempunyai sebarang perancangan berkaitan muziknya. Tapi bila semakin banyak lagu siap dan semuanya ada jalan cerita tersendiri, jadi saya fikir lebih sesuai dijadikan sebuah EP.
“Untuk bunyi lagu itu sendiri saya boleh siapkan dalam sehari sahaja. Semuanya dihubungkan dengan heavy riffing. Salah satu lagu yang berjudul Fallin’ (Oceans), liriknya saya ambil masa kurang 20 minit sahaja untuk menulis,” katanya.
Keeth berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran EP terbitan Sony Music Malaysia dan SWYM Entertainment di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pelancaran tersebut dilaksanakan selepas kejayaannya meraih gelaran Naib Juara di pertandingan Asia New Beat Grand Finals yang berlangsung di Bangkok pada 21 Mac lalu.
Dirakam di Los Angeles, Indonesia dan Malaysia, Hollywood Diaries menampilkan gabungan elemen rock berat, blues, gospel dan eksperimen sonik rentas budaya yang memperlihatkan evolusi muzik Keeth ke arah lebih matang dan bertaraf antarabangsa.
Tambahnya, single berjudul Fallin’ (Oceans) itu disifatkan terlalu istimewa buatnya kerana diinspirasikan daripada minatnya terhadap puisi, sukan meluncur serta pengalaman mengenali budaya dan manusia sepanjang berada di luar negara.
“Ia bermula daripada minat saya terhadap puisi. Lagu ini mewakili spektrum emosi dan idea saya tentang cinta akan bunyi Indonesia dan muzik rock,” jelasnya.
Bukan nama asing dalam dunia muzik, Keeth sebelum ini pernah membuka persembahan untuk bekas pemain dram Steven Adler di venue ikonik Whisky A Go Go.
Keeth juga pernah mewakili Malaysia ke pertandingan World Championship of Performing Arts dan membawa pulang enam pingat emas serta gelaran Division Champion.
Selain itu, Keeth pernah membuat persembahan di festival antarabangsa seperti Byron Bay Bluesfest dan Bali Blues Festival selain menjadi vokalis utama kumpulan legenda May di hadapan puluhan ribu penonton.
Bagaimanapun Keeth berharap kemunculannya mampu membuka mata dunia bahawa pemuzik Malaysia juga mampu berdiri sama tinggi dengan artis antarabangsa.
“Hari ini dunia saling berhubung secara digital. Apa yang saya mahu tunjukkan ialah pemuzik dari Malaysia mampu membawa muzik kita, terutamanya muzik rock, ke tahap antarabangsa tanpa sebarang batasan.
“Saya berasal dari Malaysia, letakkan saya di mana-mana pentas sekalipun saya bersedia untuk Rock n Roll,” ujarnya.










