DUBAI: Menteri Luar Iran menuduh Emiriah Arab Bersatu (UAE) terlibat secara langsung dalam operasi ketenteraan terhadap negaranya ketika mesyuarat BRICS di New Delhi pada Khamis.
Menurut media kerajaan Iran, pertikaian itu berlaku sehari selepas UAE menafikan kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa beliau melawat negara Teluk itu ketika perang Iran berlangsung.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi sebelum ini turut memberi reaksi, menegaskan mereka yang bersekongkol dengan Israel untuk menabur perpecahan akan ‘dipertanggungjawabkan’.
“Saya tidak menamakan UAE dalam kenyataan saya di BRICS demi perpaduan.
“Tetapi hakikatnya UAE terlibat secara langsung dalam pencerobohan terhadap negara saya. Ketika serangan bermula, mereka langsung tidak mengeluarkan kecaman,” menurut media kerajaan yang memetik Araghchi pada Khamis sebagai respons terhadap kenyataan wakil UAE.
Media Iran tidak menjelaskan secara terperinci kenyataan yang dibuat oleh wakil UAE itu.
Menurut laporan berkenaan, Araghchi berkata, pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) mahupun pakatan dengan Israel tidak memberikan jaminan keselamatan kepada UAE dan negara itu perlu menilai semula dasarnya terhadap Iran.
“Kita perlu hidup bersama secara aman dan ini memerlukan hubungan damai serta persefahaman penuh antara kedua-dua negara,” katanya lagi.
Perang Iran bermula selepas serangan AS-Israel terhadap Iran pada 28 Februari, dengan Teheran bertindak balas melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah pangkalan tentera AS serta sasaran lain di negara Teluk.
The Wall Street Journal pada Isnin melaporkan UAE menjalankan operasi ketenteraan terhadap Iran pada awal April.
Saudi Arabia juga didakwa melancarkan beberapa serangan yang tidak diumumkan terhadap Iran, menurut pegawai Barat dan Iran.
Media Iran turut mempersoalkan sama ada peserta mesyuarat menteri luar BRICS di India mampu mengeluarkan kenyataan bersama susulan perbezaan pendapat antara Iran dan UAE.
Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi dipetik sebagai berkata, terdapat masalah dan komunikasi tertentu disebabkan kehadiran UAE dalam mesyuarat itu.










