Serangan militan di kompleks keselamatan Pakistan ragut sembilan nyawa

Serangan militan di kompleks keselamatan Pakistan ragut sembilan nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESHAWAR: Sekumpulan militan menyerang sebuah kompleks keselamatan di barat laut Pakistan menggunakan trak sarat bahan letupan dan tembakan senjata api, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan anggota separa tentera, kata pegawai pada Jumaat.

Keganasan di Bajaur itu berlaku selepas serangan bom kereta dan bedilan mortar minggu lalu yang mengorbankan 21 orang di wilayah bergolak berhampiran sempadan Afghanistan.

“Dalam serangan itu, sembilan anggota separa tentera dan 10 militan terbunuh,” kata seorang pegawai kanan keselamatan di Peshawar sambil menambah penyerang merempuh pintu masuk kompleks menggunakan kenderaan dipenuhi bahan letupan.

Penyerang kemudian melarikan diri selepas berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan dalam tempoh yang panjang, manakala sekurang-kurangnya 35 anggota keselamatan cedera dalam serangan itu.

Seorang lagi pegawai kanan kerajaan di Bajaur mengesahkan jumlah korban serangan tersebut.

Kumpulan militan Tehrik-i-Taliban Pakistan, yang aktif di wilayah itu, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Dalam insiden berasingan di kawasan Inayat Killi, Bajaur, tiga anggota keselamatan cedera apabila sebutir mortar jatuh di dalam sebuah lagi kem Pasukan Frontier Corps, menurut pegawai.

Keganasan di Bajaur berlaku rentetan serangan bom kereta yang mengorbankan 15 orang pada Ahad di kawasan Fateh Khel, Bannu dan serangan mortar pada 7 Mei di sebuah pasar di kawasan Thall, daerah Hangu, yang meragut enam nyawa.

Pakistan menuduh Afghanistan melindungi tempat persembunyian pengganas, dakwaan yang dinafikan Kabul.

Hubungan dingin antara dua negara jiran itu semakin meruncing sejak beberapa bulan kebelakangan ini sehingga mencetuskan konflik bersenjata yang membawa maut, termasuk serangan udara Pakistan ke atas bandar-bandar di Afghanistan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN