MADA tidak lepas tangan, bantu pesawah tangani isu kenaikan diesel  

MADA tidak lepas tangan, bantu pesawah tangani isu kenaikan diesel  

Ismail Salleh (tengah) menunjukkan jadual pengurusan air bagi musim penanaman padi baharu selepas sidang akhbar di Ibu pejabat MADA, Alor Setar Kedah. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menafikan dakwaan bersikap lepas tangan dalam kemelut pesawah di bawah kendaliannya ekoran kenaikan harga diesel dan kemarau yang menjejaskan penanaman padi musim ini. 

Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, antara langkah awal dilakukan MADA termasuk mengemukakan permohonan diesel bersubsidi atau kad fleet untuk meringankan beban golongan itu di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Sejak kenaikan kos input pertanian ekoran penyelarasan harga diesel pada 2024 kami sudah usahakan insentif untuk jentera pertanian yang guna bahan api itu. Kami mohon kerajaan pertimbangkan fleet card yang sudah dihantar kepada Kementerian Kewangan tetapi belum diluluskan. Jadi sama-samalah kita doakan.

“Hanya ditambah insentif untuk pembajakan sebanyak RM140 daripada dulu RM100, naik RM160 tambah RM140 lagi menjadikan RM300,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat MADA dekat sini hari ini. 

Beliau mengulas tentang laporan akhbar hari ini bahawa 90 peratus pesawah di Kedah termasuk di kawasan MADA belum memulakan penanaman padi bagi musim baharu ekoran kemelut kenaikan diesel dan masalah kemarau. 

Mengulas lanjut kata Dr. Ismail, MADA turut melaksanakan pelbagai langkah proaktif bagi menangani situasi tersebut termasuk pemantauan intensif secara mingguan, pelaksanaan solat sunat Istisqa serta operasi pembenihan awan (OPA) sebelum ini.

“Kita bukan duduk sahaja, dalam Allah takdirkan tiada hujan kita solat minta hujan dan juga buat OPA dua kali pada Februari dan April sebanyak. Kita baru minta sekali lagi dan mereka akan putuskan bila kerana awan amat penting untuk proses ini,” katanya. 

Ujar beliau, tidak dinafikan bahawa kelewatan penanaman padi berpotensi memberi kesan terhadap pengeluaran makanan ruji itu sekiranya tidak ditangani dengan baik.

“Antara risiko yang dikenal pasti termasuk gangguan kepada operasi mekanisasi, pengurusan air, bekalan input serta kemungkinan hasil padi terjejas sekiranya proses berbunga dan penuaian berlaku dalam musim hujan. Selain itu, kelewatan ini juga berisiko menjejaskan keseluruhan jadual penanaman tahunan MADA. 

“Dalam usaha mengoptimumkan keadaan semasa, kami turut mengesyorkan pelaksanaan kaedah penanaman yang bersesuaian dengan keadaan cuaca. Cadangan awal melalui kaedah tabur terus kering dipertimbangkan namun keadaan lembap susulan hujan pada penghujung April menyebabkan kaedah itu kurang sesuai untuk diteruskan,” katanya. 

Sehubungan itu, katanya, MADA menasihatkan semua peladang di Kawasan Muda agar sentiasa mematuhi jadual penanaman yang ditetapkan serta bersedia untuk melaksanakan aktiviti penanaman dengan segera apabila turunan hujan mencukupi.  

“Tindakan ini amat penting bagi memastikan penyelarasan aktiviti di lapangan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, sekali gus mengurangkan risiko gangguan kepada keseluruhan rantaian pengeluaran padi,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN