LLM, PLUS digesa tambah parkir kenderaan berat elak risiko kemalangan

LLM, PLUS digesa tambah parkir kenderaan berat elak risiko kemalangan

KIFLI Ma Hassan ketika bercakap pada sidang media Ops Khas Kenderaan Perdagangan yang diadakan di Stesen Penguatkuasa Gombak (SPK) hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi termasuk PLUS Malaysia Berhad (PLUS) perlu menambah parkir khas lori dan kenderaan berat bagi mengelak pemandu berhenti di lokasi tidak dibenarkan sehingga mengundang risiko kemalangan.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya pada masa sama akan terus memperketat penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan di laluan terhad terutama pada waktu puncak. 

Menurutnya, JPJ sentiasa melaksanakan penguatkuasaan di laluan terhad seawal pukul 6.30 hingga 9.30 pagi bagi memastikan kenderaan berat mematuhi larangan penggunaan laluan tertentu pada waktu puncak.

“Semasa anggota kami berada di lokasi, lori-lori ini akan cuba mengelak menggunakan laluan berkenaan. Namun, ada ketikanya mereka berhenti atau meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Jika dikesan, kami akan mengeluarkan saman serta-merta dan mengarahkan lori terlibat beralih ke lokasi parkir yang dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa Gombak JPJ, Wilayah Persekutuan di sini hari ini. 

Beliau bagaimanapun mengakui, terdapat situasi di mana pemandu lori dipercayai hanya berhenti selepas anggota penguat kuasa meninggalkan lokasi, sekali gus menyukarkan pemantauan berterusan.

Katanya, keadaan sedemikian berkemungkinan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada insiden kemalangan seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pihak LLM dan syarikat konsesi lebuh raya supaya memperbanyakkan kawasan parkir untuk kenderaan perdagangan, khususnya sebelum memasuki laluan terhad.

“Kita perlukan lebih banyak kemudahan parkir kerana jika tiada pilihan, ada pemandu mengambil keputusan berhenti di lokasi yang tidak sesuai,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna kenderaan persendirian agar tidak menggunakan petak parkir yang dikhaskan untuk lori, bas dan kenderaan perdagangan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Plaza Tol Ebor Utara. 

Kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Afiq Safwan Sabri, yang bekerja sebagai jururawat dalam perjalanan ke tempat kerja di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) UiTM. 

Larangan pergerakan kenderaan berat telah diperluaskan pada waktu puncak di beberapa jajaran lebuh raya terpilih bermula 19 Februari tahun lalu bagi melancarkan pergerakan trafik. 

Antaranya Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Elite dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN