SUNGAI PETANI: Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di kawasan kebun di Taman Lembah Bujang, Bedong, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 44 tahun dijumpai pasukan bomba di ruang bilik tidur rumah terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba II Siti Norafiza Mohd Noh berkata, kebakaran memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur rumah jenis setingkat kelas A.
“Hasil pemeriksaan lanjut pada pukul 2.13 petang menemukan seorang mangsa lelaki di bilik tidur. Turut musnah dalam kebakaran itu adalah sebuah motosikal yang berada di ruang sama mangsa ditemui,” katanya.
Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah. – UTUSAN









