PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemukan maut dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Jalan Kenyalang 11/6B, Kota Damansara di sini pagi tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Nik Muzaidi Nik Abdullah, 54, ditemukan tidak sedarkan diri di beranda tingkat atas rumah berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.09 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dan BBP Damansara dikejarkan ke lokasi.
Katanya, kebakaran melibatkan sebuah rumah semi-D dua tingkat berkeluasan kira-kira 80 x 60 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sekitar 40 peratus.
“Pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki ditemukan di beranda tingkat atas sebelum berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada kira-kira 9.45 pagi.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN









