SEREMBAN: Sebanyak 291 buah kenderaan barangan disita pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menerusi pelaksanaan Op Lebih Muatan setakat bulan April lalu.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk membawa lebih muatan, melanggar syarat lesen pengendali serta menghalang tugas anggota JPJ.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 245 kes disita di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) manakala 46 kes disita di bawah Akta Pengangkutan Darat (APAD) 2010.
“Sebanyak tujuh kes telah selesai di peringkat mahkamah dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM97,000 manakala 13 kes lagi masih dalam peringkat perbicaraan,” katanya semasa sidang akhbar Op Lebih Muatan di sini hari ini.
Sementara itu Jasyindar berkata, antara jenis muatan yang kerap dikesan dalam operasi tersebut melibatkan bahan kuari, pasir dan batu-bata.
“Kawasan kuari di Nilai dan Labu dikenal pasti sebagai lokasi ‘hotspot’ bagi kesalahan melibatkan kenderaan membawa lebih muatan,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut berhadapan dengan ancaman pihak yang memberi maklumat pergerakkan JPJ atau dikenali sebagai ‘tonto’.
Menurutnya, syarikat kenderaan berkenaan akan menawarkan bayaran yang tinggi dan lumayan kepada sindiket ‘tonto’ bagi membantu mengelakkan tindakan penguatkuasaan. – UTUSAN










