ISLAMABAD: Pakistan mengerahkan 8,000 anggota tentera, satu skuadron jet pejuang dan sistem pertahanan udara ke Arab Saudi di bawah pakatan pertahanan bersama, sekali gus meningkatkan kerjasama ketenteraan dengan Riyadh ketika Islamabad turut bertindak sebagai pengantara utama dalam perang melibatkan Iran.
Kerahan yang skala penuhnya pertama kali dilaporkan itu disahkan oleh tiga pegawai keselamatan dan dua sumber kerajaan, menyifatkannya sebagai pasukan besar lengkap dengan keupayaan tempur bagi menyokong tentera Arab Saudi sekiranya kerajaan itu berdepan serangan lanjut.
Tentera Pakistan, pejabat luar negara itu dan pejabat media kerajaan Arab Saudi tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen mengenai pengerahan tersebut.
Terma penuh perjanjian pertahanan yang ditandatangani tahun lalu itu dirahsiakan, namun kedua-dua pihak sebelum ini menyatakan ia mewajibkan Pakistan dan Arab Saudi saling mempertahankan satu sama lain sekiranya diserang.
Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif sebelum ini turut memberi bayangan perjanjian itu meletakkan Arab Saudi di bawah ‘payung nuklear’ Pakistan.
Menurut sumber, Pakistan telah mengerahkan satu skuadron penuh membabitkan kira-kira 16 pesawat, kebanyakannya jet pejuang JF-17 yang dibangunkan bersama China dan dihantar ke Arab Saudi pada awal April.
Dua pegawai keselamatan turut berkata, Pakistan menghantar dua skuadron dron ke negara itu.
Kesemua lima sumber berkenaan memaklumkan kerahan itu turut melibatkan kira-kira 8,000 anggota tentera, dengan janji untuk menghantar lebih ramai jika diperlukan, selain sistem pertahanan udara HQ-9 buatan China.
Mereka berkata, semua peralatan itu dikendalikan oleh anggota Pakistan dan dibiayai oleh Arab Saudi.
Menurut dua pegawai keselamatan yang mendakwa melihat pertukaran dokumen antara kedua-dua negara berkaitan penempatan aset ketenteraan itu, anggota tentera dan tentera udara Pakistan yang dikerahkan ketika konflik Iran kebanyakannya akan memainkan peranan sebagai penasihat dan jurulatih.
Ketiga-tiga pegawai keselamatan itu berkata, pengerahan terbaharu tersebut menambah kepada ribuan anggota tentera Pakistan yang sudah ditempatkan di Arab Saudi sebelum ini di bawah perjanjian terdahulu dengan peranan tempur.
Menurut seorang sumber kerajaan yang pernah melihat teks perjanjian pertahanan sulit itu, ia membolehkan sehingga 80,000 anggota tentera Pakistan dikerahkan ke Arab Saudi bagi membantu mengawal sempadan negara itu bersama tentera Saudi.
Dua pegawai keselamatan turut berkata, perjanjian itu melibatkan penempatan kapal perang Pakistan, namun Reuters tidak dapat memastikan sama ada kapal berkenaan sudah tiba di Arab Saudi.
Menurut sumber, skala serta komposisi pengerahan itu melibatkan pesawat tempur, sistem pertahanan udara dan ribuan tentera, menunjukkan Pakistan menghantar lebih daripada sekadar misi simbolik atau penasihat.
Reuters sebelum ini melaporkan Pakistan menghantar jet pejuang ke Riyadh selepas serangan Iran mengenai infrastruktur tenaga utama dan mengorbankan seorang warga Arab Saudi, sekali gus mencetuskan kebimbangan negara Teluk itu mungkin melancarkan tindak balas besar yang boleh meluaskan konflik.
Perkara itu berlaku sebelum Islamabad muncul sebagai pengantara utama perang berkenaan dengan membantu memeterai gencatan senjata antara Washington dan Teheran yang kekal bertahan sepanjang enam minggu lalu.
Islamabad turut menjadi tuan rumah kepada satu-satunya rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran setakat ini, selain merancang pusingan rundingan lanjut yang akhirnya dibatalkan kedua-dua pihak.
Reuters sebelum ini turut melaporkan Arab Saudi melancarkan beberapa serangan yang tidak diumumkan terhadap Iran sebagai tindak balas kepada serangan yang dilakukan di dalam wilayah kerajaan itu.
Pakistan sejak sekian lama memberi sokongan ketenteraan kepada Arab Saudi termasuk latihan dan penempatan penasihat, manakala Riyadh pula berulang kali membantu Islamabad dari segi kewangan ketika negara itu berdepan tekanan ekonomi.










