ALOR GAJAH: Empat remaja termasuk dua pelajar perempuan tingkatan dua ditahan kerana dipercayai memukul dan menjerut seorang pemandu e-hailing di Kuala Sungai Baru dekat sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 41 tahun mengambil kesemua suspek di Bukit Rambai untuk dihantar ke Pekan Kuala Sungai Baru.
Menurutnya, suspek terdiri daripada dua remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun serta dua remaja perempuan berumur 14 tahun.
“Setibanya di kawasan berhampiran hutan, salah seorang suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu mencari seseorang serta mendakwa tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran tambang secara dalam talian.
“Beberapa minit kemudian, dua remaja perempuan dipercayai bertindak memukul mangsa menggunakan batang besi dan menarik rambutnya, manakala seorang suspek lelaki menjerut leher mangsa dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad berkata, seorang lagi suspek lelaki melarikan diri ketika kejadian berlaku.
Katanya, mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan memandu keluar dari kawasan tersebut sebelum mendapatkan bantuan.
“Mangsa mengalami bengkak dan lebam di beberapa bahagian badan, selain kesan jerutan pada leher. Pemeriksaan perubatan mengesahkan kecederaan dialami berpunca daripada serangan kumpulan terbabit,” katanya.
Menurut, semua suspek diberkas pada petang hari sama dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya. – UTUSAN










