ALOG GAJAH: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki heroin seberat 2.16 gram, bulan lalu.
Media sebelum ini melaporkan, tiga lelaki berkenaan melarikan diri daripada polis sejauh 135 kilometer (km) dari Serdang ke Alor Gajah, berkaitan kes dadah.
Ketiga-tiganya diberkas bersama sejumlah dadah selepas terbabit dalam kemalangan pada 29 April lalu.
Tertuduh iaitu Fairous Saad, 41; Mohamad Rafeq Mohd Johari, 22; dan M. Udaya Kumar, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.
Mereka didakwa secara bersama memiliki dadah berbahaya jenis heroin dengan berat kasar 2.16 gram di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai, dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 9.50 malam pada 29 April lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.65 gram di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memaklumkan mahkamah bahawa kes masih menunggu laporan kimia dan patologi.
Majistret kemudian mengenakan ikan jamin sebanyak RM7,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Jun untuk menunggu laporan berkenaan. – UTUSAN










