PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menetapkan semua kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) perlu memenuhi nilai kos, insurans dan tambang (CIF) minimum RM200,000 serta had kuasa motor sekurang-kurangnya 180 kilowatt (kW) berkuat kuasa 1 Julai 2026.
MITI dalam kenyataan berkata, ketetapan itu diperkenalkan susulan tamatnya tempoh pengecualian khas selama empat tahun bagi pengimportan EV di bawah permit kelulusan (AP) Francais pada 31 Disember 2025.
Katanya, dasar berkaitan EV CBU kini dikembalikan kepada kerangka sedia ada dengan beberapa penyelarasan, termasuk penurunan had minimum kuasa motor daripada 200 kW kepada 180 kW.
“Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira bahawa syarikat masih mempunyai baki stok termasuk stok sedia ada, stok di pelabuhan serta stok dalam transit, MITI membenarkan stok berkenaan dijual mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis.
“Penyelarasan ini telah dimaklumkan kepada syarikat pemegang AP Francais melalui sesi libat urus yang diadakan pada 30 April 2026,” katanya.
MITI menegaskan komitmennya untuk memastikan persekitaran dasar yang telus, konsisten dan seimbang dalam menyokong pembangunan industri automotif negara, di samping melindungi kepentingan ekonomi serta hak pengguna.
Terdahulu, media tempatan melaporkan MITI dijangka mengetatkan syarat kemasukan EV CBU bermula 1 Julai 2026 dan perubahan itu akan memberi kesan besar apabila harga runcit berpotensi naik sekurang-kurangnya RM300,000.
Laporan tersebut menyatakan perkembangan tersebut akan menyebabkan banyak model pertengahan tidak lagi dijual daripada pasaran Malaysia.
Antaranya semua EV CBU mesti mempunyai nilai kos, insurans dan CIF dengan had minimum RM200,000 serta berkapasiti sekurang-kurangnya 180 kW atau sekitar 241 kuasa kuda (hp)
Peraturan baharu ini menggantikan syarat terdahulu iaitu harga jualan minimum RM250,000 dan output kuasa 200 kW.
“Sebagai contoh, EV dengan nilai CIF RM200,000 akan dikenakan sekurang-kurangnya lima peratus duti import, 10 peratus duti eksais dan 10 peratus cukai jualan, menjadikan kos kepada pengedar sekitar RM250,000.
“Selepas mengambil kira margin pengedar dan penjual, harga runcit yang disyorkan boleh mencecah sekurang-kurangnya RM300,000,” memetik laporan media tempatan tersebut. – UTUSAN










