MEKAH: Seorang lelaki dari Johor merupakan jemaah haji Malaysia kedua meninggal dunia di Tanah Suci.
Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, jemaah berusia 70 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Ajiyad pada pukul 6.16 petang semalam akibat serangan jantung.
“Jenazah telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas solat Subuh dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea di Mekah,” kata TH dalam kenyataan hari ini.
Menurut TH, jemaah berasal daripada Senggarang, Johor, berusia 70 tahun itu hadir bersama isteri ke Tanah Suci.
“Allahyarham merupakan jemaah yang dibawa oleh Syarikat Pengelola Jemaah Haji daripada kumpulan KT34 dan menginap di Hotel Elaf Al Bait di Mekah,” katanya.
Dalam pada itu, TH mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.-UTUSAN










