LANGKAWI: Pemain industri pelancongan Langkawi dan Satun, Thailand sepakat memperkukuh kerjasama dalam sektor itu menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang mampu membuka lembaran baharu terhadap promosi pelancongan serantau.
MoU itu ditandatangani Persatuan Penggiat Industri Pelancongan Langkawi (PPIPL) dan Persatuan Perniagaan Pelancongan Satun (TBAS) dalam satu majlis di Pak Bara View Point, Satun, semalam.
Presiden PPIPL, Raseli Yahya berkata, kerjasama strategik itu bakal membuka peluang lebih luas dalam aspek promosi destinasi, jaringan perniagaan serta peningkatan aliran pelancong antara Langkawi dan Satun.
Katanya, kedua-dua pihak turut bersetuju memperluaskan capaian promosi menerusi pelbagai platform termasuk laman sesawang, bahan promosi bercetak dan kempen media sosial.
“MoU ini membuka ruang kepada ahli kedua-dua persatuan membina jaringan kerjasama lebih kukuh termasuk pertukaran maklumat, latihan dan perkongsian amalan terbaik dalam bidang pelancongan, pemasaran serta hospitaliti.
“Kerjasama ini penting bagi meningkatkan keupayaan pemain industri sekali gus memperkukuh kedudukan Langkawi dan Satun sebagai destinasi pelancongan serantau,” katanya dalam di sini semalam.
Majlis itu diadakan sempena Sambutan Makan Malam Keluarga Persatuan Persekutuan Perniagaan Pelancongan Wilayah Satun (TFOPTA) 2026 yang turut dihadiri Presiden TBAS, Samart Charoenrit.
Tambah Raseli, seramai 27 ahli PPIPL turut menyertai sesi padanan perniagaan (B2B) bersama ejen pelancongan Thailand di Universiti Songkhla Rajabhat sepanjang lawatan kerja dua hari di Satun.
Katanya, sesi itu membuka ruang kerjasama lebih luas antara pengusaha pelancongan kedua-dua negara yang kini berdepan tekanan peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga minyak global, selain mengukuhkan jaringan industri rentas sempadan. – UTUSAN










